X

Kindly register in order to view this article
!

Kru kapal hilang dikhuatiri jatuh laut

Operasi mencari dan menyelamat seorang kru kapal warga Filipina di perairan barat daya Tanjung Johor. - Foto Maritim Malaysia
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kru kapal warga Filipina hilang dikhuatiri jatuh ke dalam laut semasa pelayaran pada kedudukan kira- kira 7.8 batu nautika barat daya Tanjung Johor.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kru kapal dikenali sebagai Darryl F Deroxas, 33, dipercayai jatuh kira-kira jam 2 petang pada 24 Januari lalu.

Katanya, maklumat berhubung kehilangan kru kapal itu telah dimaklumkan oleh kapal NBA Rubens menerusi email kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.

"Kapal NBA Rubens yang berdaftar di Panama dalam pelayaran dari Singapura menuju ke India, melalui Selat Melaka," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Nurul Hizam, berdasarkan maklumat yang diterima mangsa dilihat kali terakhir memakai baju T berwarna hijau dan tidak memakai jaket keselamatan.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) namun sehingga kini masih tiada sebarang petunjuk penemuan mangsa.

"Kawasan pencarian juga telah diperluaskan dari perairan Pulau Pisang sehingga ke perairan Batu Pahat," katanya.

Jelasnya, operasi carilamat tersebut turut dibantu beberapa aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin serta sebuah helikopter yang disewa oleh syarikat kapal terbabit.

"Maritim Malaysia turut mendapatkan bantuan daripada Pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia dalam usaha pencarian di kawasan negara jiran kerana berkemungkinan juga mangsa hanyut ke perairan Indonesia.

"Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia" katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!