X

Kindly register in order to view this article
!

Gapenas lapor polis tindakan Anwar persoal darurat

Nasiruddin (tengah) hadir bersama beberapa ahli Gapenas di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Rabu, membuat laporan polis susulan dakwaan yang dibuat Anwar berkenaan isu darurat.
A
A

SERDANG - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mencabar proklamasi darurat jelas boleh mendatangkan ketidaksetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Gabungan Penegak Suara Anak Selangor (Gapenas), Nasiruddin Mohammed berkata, kenyataan yang dikeluarkan Anwar bertajuk 'Anwar gesa MP utus warkah pada Agong batalkan darurat' adalah satu bentuk hasutan kepada pihak lain.

Menurutnya, ia seolah-olah mencabar atau mempersoalkan proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong.

"Tindakan beliau (Anwar) jelas boleh mendatangkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kesalahan dan keegoan yang dibuat Anwar adalah sangat serius dan merendahkan moral selaku pemimpin dan kini menyandang beberapa jawatan sebagai Ketua Pembangkang, Pengerusi Pakatan Harapan, Presiden PKR, ahli Parlimen dan mantan Timbalan Perdana Menteri.

"Tindakan itu juga boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar cabar tindakan PM nasihat Agong gantung Parlimen

Tambahnya, beliau menyeru pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan terhadap mereka yang dianggap sebagai penghasut.

14 Januari lalu, Anwar menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini.

Anwar bagaimanapun berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua ahli Parlimen dan parti masing-masing.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!