Lelaki tidak tahan sakit perut guna tandas wanita didakwa

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TOKYO - Seorang lelaki berusia 64 tahun dilepaskan daripada tuduhan menceroboh tandas wanita selepas tersilap masuk kerana tidak tahan mahu membuang air.

Menurut laporan Japan Today, kejadian itu berlaku pada Disember tahun lalu di bandar Hamamatsu, Prefektur Shizuoka semasa lelaki itu sedang berjalan sebelum tiba-tiba sakit perut dan terus berlari ke premis Muzium Sains Hamamatsu, untuk mencari tandas.

Bagaimanapun tidak tahan untuk membuang air, lelaki terus berlari masuk ke tandas yang sebenarnya dikhaskan untuk wanita.

Malangnya, lelaki itu ditangkap dan didakwa atas tuduhan menceroboh tandas wanita yang membawa hukuman denda sehingga 100,000 yen (RM3,899).

Bagaimanapun, lelaki itu tidak mengaku salah dan menegaskan papan tanda pada tandas yang dilihatnya menunjukkan tandas bersifat unisex untuk dikongsi lelaki dan wanita.

Sebenarnya papan tanda itu sekadar makluman bahawa kakitangan muzium turut menggunakan tandas berkenaan.

Hakim Ayako Sasabe bersimpati dengan lelaki itu turut mengambil kira keadaannya ketika itu yang mengalami sakit perut teruk semasa kejadian.

Mahkamah sebelum itu turut mendengar keterangan saksi dengan memaklumkan dirinya kelam-kabut mencari tandas ketika masuk ke muzium berkenaan seterusnya tiada niat untuk melakukan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Kes ini mendapat perhatian orang ramai bukan kerana tindakan lelaki tersebut tetapi mereka mempertikaikan bagaimana dia boleh didakwa atas kesilapan kecil.