'Ada suara suruh saya pukul anak'

Nazia berkongsi pengalamannya secara maya ketika program Wacana Al-Quran siri ke-72 yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Nazia berkongsi pengalamannya secara maya ketika program Wacana Al-Quran siri ke-72 yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – “Jangan ambil mudah masalah kecelaruan keresahan (anxiety disorder) kerana ia boleh memudaratkan diri sendiri dan orang sekeliling.” Demikian luahan pesakit pesakit ‘anxiety disorder’ Nazia Suhaimi, 31, yang disahkan mengalami penyakit itu sejak Disember 2017.

Bercerita lebih lanjut, ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, dia disahkan mengalami ‘major depressive’ atau 'clinical depression’ pada Januari 2012 dan perlu mengambil ubat setiap malam.

“Ketika itu, saya masih muda dan sedang belajar, jadi saya ambil mudah dan kurang cakna tentang kesihatan mental. Malah saya ambil enteng tentang rawatan ini dan lebih parah lagi, saya berhenti menjalani rawatan dan mengambil ubat.

“Ketika itu saya fikir tak perlu makan ubat sebab kesannya akan membuatkan saya mengantuk selain mengganggu sesi pembelajaran,” katanya.

Nazia berkongsi pengalamannya secara maya semasa program Wacana Al-Quran siri ke-72 yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Wacana berkenaan dibawakan oleh CELPAD IIUM dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, IIUM CENTRIS, IIUM Disability Services Unit (DSU) dan Sahabat YADIM IIUM dengan misi MengQURANkan Bangsa, MengIKHLASkan Ummah melalui Baca, Faham dan Amal.

Program itu turut menampilkan Ketua Kluster Psikometrik Universiti Malaya (UM), Dr Harris Shah Abd Hamid dan Muslim Chaplain / Kaunselor di Institut Jantung Negara (IJN), Khairil Anwar Abdul Latif sebagai panelis manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan qari jemputan, Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah Hud ayat 80 hingga 81.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Fazryl, Harris Shah, Khairil Anwar dan Abdul Khair ketika program Wacana Al-Quran siri ke-72 yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri: Fazryl, Harris Shah, Khairil Anwar dan Abdul Khair ketika program Wacana Al-Quran siri ke-72 yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Dalam pada itu, Nazia berkata, penyakit yang dialaminya itu bertambah teruk selepas dia berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata.

Katanya, pada tahun 2016, dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam dirinya apabila mudah risau yang melampau, tidak boleh kawal perkara negatif dalam kepala, takut berjumpa orang selain mengalami simptom seperti mudah penat, susah bernafas, jantung berdegup laju dan dada seolah-olah sempit serta mudah berpeluh.

“Jadi saya ambil keputusan untuk dapatkan rawatan di klinik kesihatan sebelum dirujuk ke pakar psikiatri di hospital kerajaan. Saya bernasib baik kerana terus dirujuk tanpa menunggu temu janji seterusnya.

“Pada Disember 2017, selepas berjumpa pakar psikiatri saya disahkan mengalami ‘anxiety disorder’. Ketika itu saya mendengar bermacam-macam dalam kepala terutama bila menjaga anak-anak yang masih kecil. Bila mereka menangis, ada suara yang suruh saya pukul mereka bahkan buat perkara lebih teruk hingga boleh menamatkan nyawa riwayat seseorang.

“Sejak itu, saya ambil keputusan untuk bantu diri. Bila baca di Facebook tentang seorang sahabat yang secara terbuka berkongsi kisahnya membuatkan saya sedar yang saya tidak berseorangan dalam hal ini,” katanya.

Tambahnya lagi, selain mendapatkan rawatan dia turut berkongsi pengalamannya dengan orang ramai supaya mereka tidak mengalami masalah sepertinya.

“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai suami dan keluarga yang sangat memahami, banyak membantu serta memberikan sokongan padu kepada saya untuk terus berusaha keluar daripada penyakit ini.

“Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk sihat dan selepas tiga tahun mendapatkan rawatan, saya kini semakin baik.

“Jadi saya minta mereka di luar sana, tolong jangan takut untuk dapatkan rawatan, makan ubat dan jangan takut dengan persepsi orang kerana kita yang tanggung sakit, yang terpaksa lalui ‘peperangan’ dalam diri sendiri. Tolong bantu diri kalian supaya kita dapat melihat dunia ini dengan lebih indah,” katanya.