Pengutip barang lusuh didakwa cederakan polis kerana SOP

Arnee mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.
Arnee mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Seorang pengutip barangan lusuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh di sini pada Rabu kerana mencederakan anggota polis.

Tertuduh, Arnee Ahamad Pazir, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dilakukan pada 24 Januari 2021 jam 11.40 pagi di Pejabat Inkuiri Balai Polis Lahat, Ipoh.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa berkelakuan rusuh yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, Arnee didakwa dengan niat melakukan khianat iaitu menyebabkan kerosakan pada pintu cermin Balai Polis Lahat yang mana anggaran kerugian bernilai lebih kurang RM380 pada tarikh dan masa yang sama.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Mohamad Anuar Mohd Noor dengan memukul menggunakan topi keledar iaitu alat yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan itu, Arnee boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Sementara itu, Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab memerintah tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, peguam tertuduh, Ranjit Singh menjelaskan anak guamnya bekerja sebagai pengutip barangan lusuh dengan pendapatan sehari RM30.

Katanya, berlaku salah faham ketika tertuduh ke balai polis berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kedai makan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad.