Bunyi letupan kuat di Riyadh

Satu bunyi letupan kuat kedengaran di ibu negara Arab Saudi, Riyadh pada Selasa lalu. - Foto AFP
Satu bunyi letupan kuat kedengaran di ibu negara Arab Saudi, Riyadh pada Selasa lalu. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Sekurang-kurangnya satu bunyi letupan kuat kedengaran di Riyadh pada Selasa lalu, lapor seorang koresponden AFP selepas Arab Saudi berjaya memintas sebuah peluru berpandu yang menuju ke bandar raya itu dan dilancarkan dari Yaman tiga hari lalu.

Sebelum ini, pihak berkuasa menghadapi serangan peluru berpandu dan dron daripada kumpulan pemberontak Houthi di Yaman sejak tahun 2015.

Letupan itu menggegarkan tingkap-tingkap bangunan di Riyadh pada kira-kira jam 1 petang waktu tempatan, kata koresponden AFP dan penduduk di bandar raya tersebut.

Beberapa penduduk melaporkan di media sosial mereka mendengar dua letupan dan mendakwa melihat asap dipercayai akibat tindakan pasukan pertahanan Arab Saudi yang memintas satu objek di langit Riyadh.

Negara beraja itu telah mengetuai satu perikatan tentera bagi menentang kumpulan pemberontak Houthi di Yaman yang terlibat dalam perang saudara sejak tahun 2015.

Bagaimanapun, adalah jarang untuk sebuah dron atau peluru berpandu yang dilancarkan Houthi yang mendapat sokongan Iran boleh tiba ke Riyadh kerana ia terletak sejauh kira-kira 700 kilometer dari sempadan utara Yaman.

Beberapa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh ditangguhkan selepas kejadian itu, menurut beberapa penumpang.

Antara penumpang itu ialah bekas wakil Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, Jason Greenblatt yang berada di tempat kejadian semasa letupan itu kedengaran.

Artikel Berkaitan:

"Kami dengar penangguhan (penerbangan) adalah disebabkan sebuah peluru berpandu dilancarkan oleh pengganas Houthi. Sebagai warga Amerika, saya perlu berdiri teguh bersama sekutu kami, Arab Saudi dan rakyatnya.

"Ia (Arab Saudi) mempunyai hak untuk mempertahankan negara dan rakyatnya ketika menghadapi serangan kejam," kata Greenblatt seperti dilaporkan AFP.

Setakat ini tidak ada komen diberikan oleh kerajaan Arab Saudi atau kumpulan pemberontak Houthi berhubung insiden itu.

Arab Saudi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menentang pemberontak Houthi.

Pada Sabtu lalu, ia mendedahkan kejayaannya memintas sebuah peluru berpandu yang sedang menuju ke Riyadh, lapor sebuah stesen televisyen negara tersebut. - Agensi