Paip pembetungan pecah cemari Sungai Melantai

Seorang anggota JAS melakukan pemantauan keadaan Sungai Melantai selepas dicemari efluen hingga mengakibatkan airnya menjadi keruh di Kampung Bentong, Kluang pada Selasa.
Seorang anggota JAS melakukan pemantauan keadaan Sungai Melantai selepas dicemari efluen hingga mengakibatkan airnya menjadi keruh di Kampung Bentong, Kluang pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - Paip pembetungan dari kawasan perindustrian Taman Sri Kluang ke loji Indah Water Konsortium (IWK) pecah mengakibatkan efluen mengalir dan mencemarkan Sungai Melantai, Kampung Bentong di sini pada Selasa.

Ketua Kampung Bentong, Zailan Kadir, 62, berkata, efluen atau sisa buangan itu mengakibatkan air sungai bertukar menjadi menjadi hitam.

"Kita mengesan paip pembetungan tersebut pecah pada jam 5 petang semalam (Selasa) selepas melihat air sungai tersebut keruh dan kotor. Paip pembetungan ini pecah dipercayai akibat banjir baru-baru ini.

"Kita boleh lihat tanah di kawasan tersebut terhakis dan perkara ini sudah pun dilaporkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) petang semalam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, pihak berkenaan sudah melakukan kerja-kerja awal dengan menghentikan aliran di paip pembetungan itu supaya sisa buangan tidak terus mengalir dalam sungai.

Menurut Zailan, sekiranya tidak dihentikan pihaknya bimbang air sungai yang tercemar akan terus mengalir sehingga ke bahagian hilir kerana terdapat sebuah kolam takungan air di kawasan berkenaan.

Sementara itu, JAS dalam Facebook rasminya memaklumkan pihaknya sudah menyiasat dakwaan Zailan dan mendapati paip pembetungan pecah disebabkan pergerakan tanah runtuh semasa pasca banjir.

"Keadaan ini menyebabkan paip ini sagging (patah) dan efluen mengalir keluar melalui paip tersebut. Tindakan segera diambil dengan melakukan kerja-kerja roding dalam paip bagi mengelakkan tersumbat.

Artikel Berkaitan:

"Pam dalam loji rawatan akan dioperasikan secara manual bagi mengurangkan volume influen dalam paip. Semua kerja-kerja ini sedang dijalankan sehingga pembaikan paip dibaiki sepenuhnya.

"Pada jam 8 malam tadi (Selasa), efluen yang keluar telah dapat diminimumkan dan pemantauan berterusan masih dijalankan. Kerja pembaikan sepenuhnya dijangka siap esok. JAS Kluang akan terus memantau keadaan ini sehingga pulih seperti sedia kala," katanya.