Hak Melayu yang tidak berhak

A
A
A

SAYA secara rengan sering mengaitkan Hang Tuah dengan Hang Lipo dari negara China yang menjadi permaisuri Sultan Melaka. Ada kemungkinan Hang Tuah anak atau ada kaitan darah dengan Hang Lipo. Mana lagi orang Melayu bernama Hang? Orang utara pakai ‘hang’ untuk maksud ‘engkau’ atau ‘awak’. Bagaimana boleh jadi begitu? Mungkin sama permulaannya dengan sebutan ‘ si Mamat’ untuk seorang lelaki yang kita tidak kenal atau tidak tahu nama, atau ‘si Minah’ untuk seorang wanita yang sama keadaannya.

Maka mungkin kerana terkenalnya ‘si Hang’ di Melaka, ia terbawa-bawa ke pesisiran Selat Melaka, sampailah di utara Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis hingga akhirnya ‘si’ itu hilang dan yang tinggal ialah ‘hang’ saja. Kuatnya sebutan ‘hang’ ini sehingga saya ketika menghuni di dua buah asrama di Universiti Malaya dalam tahun 1960-an dapati kebanyakan rakan-rakan Melayu menggunakan ‘hang’ apabila bercakap dan bergurau sesama sendiri. Ia terus kekal selepas lulus.

Kini Hang Tuah disebut selang-seli dengan rujukan ‘legenda’ dan ‘wira’. Mugkin Hang Tuah benar-benar ada, seperti kata seorang pensyarah wanita di TV baru-baru ini. Menurut kesimpulan beliau dari hasil penyelidikannya yang termasuk sumber di Jepun, Hang Tuah sudah tua apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Jika ini benar, hakikatnya masih tidak pasti Hang Tuah itu ada kaitan atau tidak dengan Hang Lipo. Jika ada kaitan, itu satu perkara biasa.

Daripada wira Hang Tuah ini, baik legenda atau sebenarnya, Melayu tidak lekang dengan seruan ‘Tidak Melayu Hilang Di Dunia’ yang kononnya diucapkan Hang Tuah. Setiap drama Hang Tuah di pentas sekolah, TV dan filem macam tidak lengkap jika dialog ini tidak dimasukkan. Dari segi psikologi, kata-kata begitu mencerminkan rasa curiga yang bererti sebaliknya. Kalau tidak takut, tidak perlu memekik ‘aku berani’. Pamerkan saja keberanian dan pastikan pihak lawan kalah.

Cerita teladan "Si Abu dengan wangnya" menjadi satu contoh psikologi yang baik. Selepas mencuri wang, Abu menanamnya di suatu tempat. Di atasnya Abu pacakkan dengan kata-kata "Di sini tiada wang Abu." Bodoh bunyinya, tetapi itulah yang terdapat dalam buku bacaan Darjah Dua di sekitar 1950-an. Dipercayai tersemat dalam benak penulis buku itu apa yang dipanggil ‘reverse psychology’ atau ‘psikologi terbalik’.

Apa perlu kita melaung ‘Tiada Melayu Hilang Di Dunia’ jika Melayu benar-benar gigih. Bangsa-bangsa yang terkuat tidak mempunyai ungkapan begitu. Portugis yang menawan Melaka 1511 tidak ada kata-kata begitu. Begitu juga China dan India yang kini merupakan negara paling banyak penduduk. AS dan Rusia juga tidak. Jika kita cenderung melaung kata-kata patriotisme dan ungkapan keagungan begitu, kita mesti sedar dunia Melayu adalah sudut kecil dalam dunia buana.

Hak kita memang hak kita, tetapi jika terkeluar dari batasan hak sebenar kita akan terbenam dengan hak kemanusiaan duniawi yang boleh dikuatkuasakan oleh PBB dan AS/EU. Tengok apa yang berlaku di Iraq, Libya, Syria dan kini Venezuela, mungkin Iran, dan Bosnia-Herzegovina akibat terpecahnya Yugoslavia 20 tahun dulu. Bukankah AS dan suku sakatnya di PBB dan EU yang meletakkan tanda koma dan noktah? Hak kita juga disangka terjamin apabila Perjanjian Pangkor 1874 dibuat dengan British dalam Kapal Pluto. Pembesar-pembesar Perak yang bersengketa naik kapal itu pada hari Jumaat dan dua hari kemudian, pada hari Ahad, perjanjian itu telah genap ditandatangani, belum sempat difahami benar-benar.

Setahun kemudian, sebelum Residen Perak JWW Birch dibunuh di tebing Sungai Perak di Pasir Salak, Datok Maharaja Lela menujah British mencemar hak Melayu. Beliau dihukum mati, sedangkan Sultan Abdullah dibuang ke pulau Seychelles dekat Afrika. Saya selitkan implikasi ini dalam filem saya "Raj of the East" yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Menoleh kembali, Datok Maharaja Lela berhak ditatahkan sebagai Wira Melayu yang sanggup berkorban kerana mempertahankan hak Melayu. Sejak itulah hak Melayu terumbang ambing. Inggeris sengaja menutup kewiraan Datok Maharaja Lela dan mengagungkan pembesar-pembesar yang selesa dengannya. Begitu banyak dan tebalnya sejarah kita yang ditulis oleh Inggeris sendiri.

Perkara 153 Perlembagaan kita menjaminkan pengagihan setimpal dalam lesen perniagaan yang pelbagai kepada Bumiputera. Dalam Bumiputera dijaminkan haknya, orang bukan Melayu juga dijamin haknya tidak dikurangkan, malah berhak mendapat tambahan. Justeru, kedua-dua pihak mempunyai hak istimewa. Sebenarnya Perlembagaan kita yang asalnya ditulis oleh seorang tokoh Inggeris memberikan imbangan hak kepada Bumiputera, bukan Bumiputera, malah sesetengah pihak orang luar.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet