Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat di masjid, surau seluruh Perak

Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan semua masjid dan surau di Perak dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat termasuk surau di dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang-kilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan sembah cadangan MAIPk yang berpandukan nasihat Jawatankuasa Fatwa Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Menurutnya, keputusan tersebut diperkenan bagi membolehkan lebih ramai individu menunaikan solat Jumaat.

"Baginda turut memperkenan had maksimum 40 orang jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid atau surau.

"Jemaah yang dibenarkan terbatas kepada warganegara Malaysia lelaki dalam lingkungan usia 18 hingga 70 tahun," katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.

Mohd Annuar berkata, syarat-syarat penjarakan fizikal antara jemaah akan diperketatkan dengan pengenalan mekanisme baharu merangkumi aliran masuk dan keluar masjid mahupun surau.

Menurutnya, aktiviti keagamaan seperti kuliah dibenar untuk diadakan dalam tempoh antara waktu solat Maghrib dan Isyak di masjid dan surau.

Beliau berkata, bagaimanapun sebarang acara jamuan di dalam atau perkarangan masjid dan surau tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketetapan tersebut terpakai dan berkuat kuasa pada 28 Januari 2021 sehingga ketetapan baharu dikeluarkan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat Hajat setiap hari memohon kepada ALLAH agar bencana kesihatan yang melanda dunia segera berakhir.

"Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah ALLAH dan beribadah secara berjemaah. Dalam pada itu, baginda amat bimbang akan ancaman keselamatan ummah akibat penularan wabak Covid-19.

"Baginda juga amat bersimpati dengan para petugas Kementerian Kesihatan yang berada di barisan hadapan menangani Covid-19," katanya.

Sementara itu, menurut Mohd Annuar, baginda berpendirian bahawa seluruh rakyat di negara ini supaya sama-sama membantu meringankan beban berat yang digalas petugas Kementerian Kesihatan.

Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan, polis dan semua agensi terlibat dalam memastikan PKP dipatuhi.