Wanita miliki 24 rekod jenayah ditahan kes pecah rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat kes pecah rumah di Jalan Selendang 19, Taman Mewah di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan pada jam 1 pagi di rumah masing-masing di Taman Mewah dan Kampung Melayu di sini.

"Pihak polis menahan ketiga-tiga suspek yang berusia 29 hingga 33 tahun itu selepas menerima aduan daripada seorang lelaki iaitu mangsa pada jam 12 tengah malam Ahad memaklumkan rumahnya di taman itu dipecah masuk.

"Susulan itu sepasukan anggota dari Balai Polis Kulai menyerbu rumah suspek. Dalam serbuan itu polis menemukan antaranya sebuah motosikal jenis Kawasaki, sebuah motosikal Modenas Kriss, sebatang perengkuh paip, sebuah beg kain tentera dan sebuah tabung tentera.

"Nilai kerugian dalam kes pecah rumah tersebut dianggarkan lebih RM1,000," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, siasatan terhadap kes tersebut masih dilakukan selain polis juga menyiasat penglibatan suspek dalam kes lain.

"Semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Kedua-dua suspek lelaki tersebut mempunyai 15 rekod manakala wanita itu pula mempunyai 24 rekod," ujarnya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman selama sehari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun, denda atau sebat bagi kesalahan kedua.