Maritim rampas 23 set bubu naga

Maritim merampas 23 set bubu naga di kedudukan 0.6 batu nautika timur laut Bagan Tiang, Parit Buntar pada petang Selasa.
Maritim merampas 23 set bubu naga di kedudukan 0.6 batu nautika timur laut Bagan Tiang, Parit Buntar pada petang Selasa.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya merampas 23 set bubu naga di kedudukan 0.6 batu nautika timur laut Bagan Tiang di sini pada petang Selasa.

Operasi sekitar jam 3.05 petang itu dilakukan selepas menerima aduan daripada nelayan tempatan mengenai aktiviti terbabit yang berleluasa di perairan itu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, penggunaan bubu naga yang melebihi dua injap boleh menjejaskan sumber perikanan kerana ia tidak selektif.

"Peralatan ini juga tidak dilesenkan penggunaannya berdasarkan pekeliling semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

"Kesemua bubu naga yang disita ini telah dibawa ke Zon Maritim Kuala Kurau untuk melalui proses undang-undang bagi mendapat perintah lucut hak dari mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Menurutnya, pada tahun lepas sahaja, Maritim telah merampas sebanyak 1,415 set bubu naga dan telah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan.

"Penggunaan peralatan ini telah mencetuskan konflik sosial dan pertelingkahan antara pengusahanya dengan pengusaha pukat hanyut serta pengusaha bot pukat tunda kerana ia dipasang pada jarak 2 hingga 9 batu nautika dari pantai," katanya.

Beliau menggesa orang awam bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.

Artikel Berkaitan: