PKP: Peniaga pasar malam tertekan hilang pendapatan

Muszafis yang baharu memulakan kerjaya sebagai peniaga pasar malam selepas diberhentikan kerja mengharapkan pasar malam dapat dibuka semula dalam tempoh PKP 2.0 ini.
Muszafis yang baharu memulakan kerjaya sebagai peniaga pasar malam selepas diberhentikan kerja mengharapkan pasar malam dapat dibuka semula dalam tempoh PKP 2.0 ini.
A
A
A

IPOH - Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nyata memberi kesan mendalam buat penjaja dan peniaga pasar malam yang kini berdepan kesukaran meneruskan kelangsungan hidup.

Larangan berniaga oleh kerajaan dalam tempoh dua minggu menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan bahkan ada yang terpaksa menghabiskan wang simpanan.

Bagi peniaga pasar malam, Muszafis Mustaffa, 34, dia baharu sahaja menukar kerjaya menjadi peniaga selepas diberhentikan kerja ketika PKP Mac tahun lalu.

Katanya, sejak memulakan perniagaan pada Julai tahun lalu, dia sudah boleh 'bernafas' semula apabila kuetiau goreng, mi goreng dan mihun goreng yang dijual mendapat sambutan pelanggan.

"Dah lebih enam bulan saya meniaga lepas kena buang kerja di Kuala Lumpur, pendapatan pun Alhamdulillah dapat juga tampung perbelanjaan keluarga.

"Tapi bila PKP 2.0 diumumkan kerajaan, saya jadi buntu. Isteri saya baru bersalin, keperluan sekolah anak dah beli tiba-tiba tak boleh nak meniaga," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pembukaan semula pasar malam dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat harus dipertimbangkan agar golongan peniaga kecil tidak terjejas teruk.

Seorang lagi peniaga pasar malam, Nor Faeizah Yunus, 35, berkata, penutupan pasar malam dalam tempoh PKP 2.0 memang sangat memberi kesan kepada pendapatannya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak berniaga di pasar malam 5 tahun lalu, dia belum pernah berdepan dengan situasi tertekan seperti itu kerana kehilangan sumber pendapatan.

"Memang rasa tertekan sebab kita baru nak mula bangkit selepas PKP yang awal. Bila kena PKP kali kedua, duit simpanan pun dah nak habis sebab nak tampung perbelanjaan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu dan Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta merayu agar pembukaan semula pasar malam dipertimbangkan.

Pengerusinya, Jaafar Uthman berkata, kira-kira 2,000 peniaga dan penjaja di sekitar daerah Kinta terjejas teruk dengan pengumuman penutupan pasar malam kerana pelaksanaan PKP.

Beliau berkata, kebanyakan mereka hanya bergantung kepada pendapatan sebagai peniaga pasar malam dan tidak mempunyai kerja yang lain.

"Selepas pasar malam dibenarkan dibuka sebelum ini, kami begitu tegas menjaga SOP ditetapkan pihak berkuasa dan semua peniaga mematuhinya bagi mengelak tercetusnya kluster baharu melibatkan pasar malam.

"Malah semua makanan yang dijual juga dibungkus untuk dibawa pulang, bukan makan di sini. Jadi semua ini harus menjadi pertimbangan kerajaan agar golongan peniaga tidak berdepan kesukaran," katanya.

Jelasnya, golongan peniaga sangat mengharapkan agar pasar malam dibuka dan kerajaan memikirkan kaedah alternatif mengawal penularan Covid-19 agar PKP tidak dilanjutkan lagi.