Muda cadang had umur ahli parlimen ditentukan menerusi kuota

Dr Thannusha FX mencadangkan agar ahli parlimen di negara ini mempunyai had umur tetapi melalui kuota pencalonan parti politik. -Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Dr Thannusha FX mencadangkan agar ahli parlimen di negara ini mempunyai had umur tetapi melalui kuota pencalonan parti politik. -Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) mencadangkan agar ahli parlimen di negara ini mempunyai had umur tetapi melalui kuota pencalonan parti politik.

Salah seorang pengasas Muda Malaysia, Dr Thannusha FX berkata, beliau mencadangkan melalui kuota itu disebabkan pencalonan calon dalam pilihan raya ditentukan oleh parti politik.

“Pencalonan ini dilakukan oleh parti politik. Jika kita adakan kuota dalam sistem pemilihan ini, kita boleh mendapat perwakilan yang adil untuk setiap golongan dalam masyarakat kita.

“Yang tua ada dan yang muda pun ada,” katanya dalam program bertajuk Berani Semuka: Ahli Parlimen Perlu Ada Had Umur? yang disiarkan secara langsung di media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Selain Dr Thannusha mewakili kerajaan dalam program ini, turut ditampilkan Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan, June Arthisha Mohamad Nazari sebagai wakil pembangkang dan ia dikendalikan oleh Saiful Nizam Ismail yang bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Thannusha mendedahkan, ahli parlimen yang berumur lingkungan 30 tahun ke bawah di negara ini hanya 0.9 peratus.

“Adakah ini satu perwakilan yang adil?Adakah ini satu perwakilan yang boleh membawa kepentingan kita di dewan rakyat? Tetapi pada masa yang sama perwakilan di dewan rakyat untuk ahli parlimen yang berumur lebih daripada 60 tahun adalah 35 peratus. Langsung tidak adil.

“Kalau tak ada perwakilan yang adil dari segi umur, sudah tentu ada jurang generasi. Maksud saya tak cukup orang muda yang membawa kepentingan golongan muda ke parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, pandangan saya bahawa ahli parlimen perlu mempunyai had umur tetapi melalui kuota pencalonan parti politik dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mempersoalkan adakah pengalaman semata-mata sahaja yang penting untuk menjadi seorang ahli parlimen.

“Bukankah perwakilan juga penting? Ramai antara mereka berada di sana sejak sebelum kemerdekaan negara kita dan masih berada di sana.

“Tak ada masalah hanya segelintir untuk mewakili golongan tua tapi kita perlu bersikap adil kepada golongan muda,” katanya.

Berani Semuka yang diadakan di Kumpulan Karangkraf dan disiarkan secara langsung menerusi media sosial Sinar Harian membahaskan tajuk Ahli Parlimen Perlu Ada Had Umur? melibatkan Pengasas Parti Muda Malaysia, Dr Thanussha FX (kiri), Moderator, Saiful Nizam Ismail (tengah) dan Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan, June Artisha Mohamad Nazari. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Berani Semuka yang diadakan di Kumpulan Karangkraf dan disiarkan secara langsung menerusi media sosial Sinar Harian membahaskan tajuk Ahli Parlimen Perlu Ada Had Umur? melibatkan Pengasas Parti Muda Malaysia, Dr Thanussha FX (kiri), Moderator, Saiful Nizam Ismail (tengah) dan Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan, June Artisha Mohamad Nazari. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Berani Semuka pada Selasa adalah siri ketiga sejak ia dilancarkan pada tahun lalu dan siri pertama menampilkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bersemuka dengan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman, program berani semuka ini mengambil contoh apa yang dilakukan di Amerika Syarikat melalui Debat Presiden.

“Apa yang kita boleh tiru di sini ialah untuk berdebat secara terbuka, matang dan bebas bagi mengemukakan pandangan masing-masing tanpa perlu berbalah dan sebagainya.

“Jadi kita mengharapkan program ini dapat mengetengahkan satu perdebatan yang matang dan rasional. Itu harapan saya,” katanya.