Tiga legenda bola sepak dekati pemain cilik

Peserta program Klinik Bola Sepak Percuma Terbuka teruja berpeluang bertemu bekas pemain lagenda bola sepak di Kompleks Sukan Pagoh, baru-baru ini.
A
A

MUAR - Tiga legenda bola sepak negara tampil mendekati pemain cilik melalui Klinik Bola Sepak Percuma Terbuka sempena Karnival Jom Ke Pagoh.

Program anjuran Armada Bersatu Bahagian dengan kerjasama Pagoh FC itu, menampilkan bekas pemain bola sepak Idris Karim, Nasir Yusof dan Jasmi Mohamad.

Penganjurnya, Zakaria Abdul Karim berkata, klinik bola sepak itu julung kali dicetuskan dengan membariskan individu menyuntik semangat kesukanan dalam kalangan peserta untuk menjadi atlet berjaya.

“Melalui aktiviti permainan bola sepak terbuka kepada murid di Parlimen Pagoh seawal tujuh hingga 12 tahun, ia mendorong semangat peserta menjadi pelapis bola sepak terkemuka.

“Dengan pengalaman mendekati bekas pemain hebat ini, peserta didedahkan teknik yang betul sekali gus menyuntik keinginan mereka menjadi seperti tiga bintang,” katanya.

Terdahulu, seramai 40 peserta menyertai klinik bola sepak berkenaan di Kompleks Sukan Pagoh di sini, kelmarin.

Jasmi berkata, sukan bola sepak mampu menyatukan semua pihak dan menyifatkan terpilih mewakili peringkat tertinggi bukan mudah.

“Kalau ada minat, cepat-cepat rebut peluang yang ada di sekolah sebab kalau cikgu dapat kesan bakat anak-anak, Insya-ALLAH kamu boleh terpilih ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, turun naik prestasi seseorang pemain adalah perkara biasa dalam arena bola sepak.

Manakala Nasir berkata, pengalaman puluhan tahun sebagai pemain negeri dan kebangsaan dikongsikan bersama peserta.

Beliau tidak menolak ada di antara mereka yang berpotensi ke peringkat tertinggi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia