Mudah dimanipulasi punca masyarakat terjebak helah scammer

Shamsuddin
Shamsuddin
A
A
A

SHAH ALAM – Mudah tersentuh dengan kisah sedih yang dipaparkan di laman sosial antara punca masyarakat khususnya umat Islam terdedah kepada helah kegiatan penipuan scam.

Selain itu, ada segelintir terpengaruh dengan pelbagai istilah yang berunsurkan agama namun hakikatnya ia berbentuk scam untuk menarik perhatian masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan Insaniah Rakyat Malaysia dan Perunding Kewangan Rakyat, Shamsuddin Abdul Kadir berkata, sindiket penipuan ini licik kerana mereka menggunakan taktik menekan mangsa secara psikologi kononnya terbabit dalam kesalahan jenayah atau mempunyai masalah kewangan.

“Jangan mudah tertipu dengan taktik digunakan scammer kerana ia boleh memudaratkan diri sendiri.

“Ada yang terpaksa meringkuk dalam penjara gara-gara ‘bersedekah’ kepada kawan yang kononnya kesempitan wang untuk membeli susu anak sedangkan kawannya ialah penyokong Daesh dan terkorban di luar negara.

“Ada bukti yang dia menyumbang ke dalam akaun rakannya sedangkan niatnya hanya ingin membantu meringankan beban orang lain.

“Ada juga yang mengambil kesempatan ‘buat duit’ menggunakan gambar individu yang sedang menderita sakit dan memerlukan bantuan atau menggunakan nama tahfiz sedangkan ia tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata, scammer juga seolah-olah mempunyai ‘butang emosi’ yang boleh membuatkan manusia waras terpengaruh.

Artikel Berkaitan:

“Mereka sering menggunakan ayat-ayat manis dan nampak ‘waras’ yang boleh membuai-buai emosi mangsa termasuk golongan profesional walaupun hanya berinteraksi melalui alam maya.

“Scammer ini juga mempunyai kemahiran berkomunikasi yang tinggi dan sudah terlatih selain berkebolehan mengkaji mangsanya.

“Kehadiran media sosial menjadi antara peluang terbuka untuk scammer dan sebab itu masyarakat perlu berhati-hati serta memperketatkan keselamatan perbankan,” katanya.