Teruja akhirnya kuih bakul terjual di Shoppe

Nani Masslina menunjukkan kuih bakul diusahakan sejak tahun 2017.
Nani Masslina menunjukkan kuih bakul diusahakan sejak tahun 2017.
A
A
A

KANGAR - Seorang suri rumah rasa teruja apabila produk kuih bakul yang dijual menggunakan platform e-dagang Shoppe akhirnya dibeli buat pertama kalinya sejak dua tahun dia berniaga.

Nani Masslina Sulaiman Najidi, 46, mula menggunakan platform e-dagang semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lalu bagi menambah pendapatan.

"Ketika PKP pertama itu, saya jual satu produk, bagaimanapun tiada 'view' daripada pembeli, apatah lagi untuk membeli. Dalam hati berkata, mungkin saya silap teknikal kerana ilmu berniaga online tiada ketika itu.

"Pada awal tahun 2020, saya ada membeli modul perniagaan dan sertai dalam 'group support' Facebook, tetap tiada sambutan. Kemudian penghujung tahun 2020, saya jual satu produk lagi, perkara sama juga berlaku.

"Bila cari produk saya di Shoppe memang ada tetapi pelanggan mungkin tidak berminat hendak beli barang saya. Ketika itu saya menjual pekasam telur sotong, pekasam daging dan ikan bilis garing," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dengan berbekal ilmu dan pengalaman, bekas pesara kerajaan itu berkata, dia mula menguar-uarkan produk buatan tangan iaitu kuih bakul di laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

"Sehinggalah pada 24 Januari lalu, saya menerima seorang pelanggan membeli kuih bakul buat pertama kali. Bagai nak lompat ke bintang punya seronok, tak tau nak habaq.

"Kerana sebelum ini letak barang di Shoppe, tiada orang nak beli. Memang kecewa sangat tiada sambutan. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya tetap tidak berputus asa. Selepas dua tahun, alhamdulillah baru dapat rezeki. Memang gembira tak terkata," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Nani difahamkan pernah membuka sebuah butik tudung jenama sendiri, namun terpaksa tutup pada tahun 2014 kerana memberi tumpuan menjaga suaminya, Che Mohamad Che Hashim, 46, yang diserang strok.

Kuih bakul Nani Masslina mendapat sambutan terutama menjelang musim perayaan.
Kuih bakul Nani Masslina mendapat sambutan terutama menjelang musim perayaan.

Bagaimanapun, selepas enam bulan, suaminya juga penolong jurutera di Universiti Malaysia Perlis (UMP) telah pulih.

Ibu kepada empat anak ini memberitahu, dia mula berniaga kuih bakul pada tahun 2017 selepas suaminya teringin merasai keenakan kuih itu yang popular dalam kalangan masyarakat Cina.

"Waktu itu, suami teringin makan kuih bakul, tetapi kebanyakan yang berada di pasaran bukan daripada penjual Muslim. Jadi, saya cuba resepi yang diperolehi dari internet.

"Tidak sangka percubaan pertama kali menjadi dan mendapat sambutan. Setiap tahun permintaan semakin meningkat terutama musim perayaan hingga tidak menang tangan," katanya menggunakan daun pisang sebagai pembalut kuih bakul.

Pada Isnin lalu, seorang pelayar Twitter dikenali Nady memuat naik posting Facebook Nani Masslina dengan ciapan "Kakak ini punya 'excited' saya jadi 'first customer' yang 'order' kuih bakul dia melalui Shopee, sampai dia update status la. Sebelum ni katanya dia pernah dah jual kat shopee tapi tiada siapa order. Semoga murah rezeki akak ni".

Ciapan Nady tular di laman sosial hingga meraih lebih 18,500 tanda suka dan 13,700 ciapan dari warga maya yang tidak putus memberi kata-kata semangat kepada Nani Masslina.