Isu desak Zahid undur: Veteran UMNO nasihat semua bertenang

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO menasihati semua pihak dalam parti itu supaya bertenang bagi mengelak berlakunya kelam kabut dalam politik memandangkan situasi negara yang masih dilanda pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Othman Desa berkata, pemimpin di setiap peringkat khususnya Pemuda UMNO di peringkat bahagian juga dinasihatkan tidak terikut-ikut dengan hasutan seteru politik UMNO.

Menurutnya, nasihat itu bagaimanapun tidak bermaksud menghalang ahli parti untuk memberi pendapat dan pandangan mereka tetapi supaya keadaan pada masa ini tidak dikeruhkan lagi dengan isu politik.

"Perubahan politik dan trend baharu pemikiran politik anak-anak muda sudah berubah. Jadi mereka ini bukan berpolitik seperti cara orang lama-lama dahulu yang menghormati ketua, yang wala (setia).

"Namun ia bukan bermaksud golongan muda tidak setia, mungkin mereka hanya inginkan perubahan dan hala tuju yang jelas serta pembaharuan yang berkesan dilihat sesuai dengan peredaran masa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Othman Desa
Othman Desa

Beliau berkata demikian mengulas desakan yang dibuat oleh beberapa pemimpin Pemuda di peringkat bahagian secara terbuka mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar berundur.

Terbaharu, isu kain rentang desakan agar Ahmad Zahid berundur pula dilaporkan dipasang di dua lokasi iaitu di Tanjung Malim dan Kuala Kangsar sejak Ahad.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Malim, Jamil Sulong Mohamed Shariff bersama beberapa ahli jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian itu.

Dalam pada itu, Othman bagaimanapun mengakui pandangan, kehendak dan hasrat orang muda serta perubahan dinamika politik berlaku ketika ini memerlukan perhatian kepimpinan parti itu.

"Mungkin mereka berpandangan bahawa desakan dibuat itu dapat membawa perubahan supaya UMNO terus kekal, mantap dan menjadi pilihan rakyat, mungkin juga ada perlunya pengorbanan itu dibuat.

"Veteran berpendapat perkara yang ditimbulkan ini perlu diteliti dan mengambilnya dengan positif untuk memastikan UMNO yang mendukung Barisan Nasional (BN) terus menjadi pilihan rakyat," katanya.