Suami sanggup perangkap isteri dengan dadah gara-gara tuntut cerai

Rancangan EA memerangkap isterinya dengan dadah agar ditahan polis akhirnya terbongkar. - Foto: Agensi
Rancangan EA memerangkap isterinya dengan dadah agar ditahan polis akhirnya terbongkar. - Foto: Agensi
A
A
A

SURABAYA - Seorang lelaki di Indonesia tergamak memerangkap isterinya dengan dadah supaya dia ditahan pihak berkuasa gara-gara mangsa mahu menuntut cerai.

Perbuatan individu dikenali sebagai EA, 30, dari Kedung Tarukan, Surabaya di Jawa Timur itu yang meletakkan methamphetamine pada motosikal digunakan isterinya, IM bagaimanapun terbongkar.

Pada mulanya, anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap motosikal ditunggang IM hingga membawa kepada penemuan peket mengandungi dadah tersebut.

Wanita itu kemudiannya dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

“Kami turut memeriksa telefon bimbit dan melakukan ujian air kencing. Tetapi, keputusannya negatif,” lapor Surya.co.id memetik kenyataan jurucakap polis, Ipda Arie Pranoto pada Isnin.

Menurut IM, dia mengesyaki dirinya telah diperangkap suaminya kerana EA pernah mengugut untuk berbuat demikian.

Hasil soal siasat terhadap EA dan pemeriksaan dilakukan ke atas telefon bimbitnya mendapati terdapat perbualan tentang urus niaga methamphetamine tersebut.

“Dia berang kerana isterinya meminta cerai. EA sanggup membuat rancangan seperti itu semata-mata mahu memastikan isterinya diberkas polis,” jelas Ipda lagi.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, polis masih giat memburu pengedar methamphetamine seberat 25 gram tersebut yang dijual pada harga 150,000 rupiah (RM43) kepada EA. - Agensi