Pendirian PSM tak berganjak

Saingan STL Champions Cup terpaksa ditangguhkan susulan pelaksanaan PKP ketika ini. FOTO: FB SEPAKTAKRAW LEAGUE
Saingan STL Champions Cup terpaksa ditangguhkan susulan pelaksanaan PKP ketika ini. FOTO: FB SEPAKTAKRAW LEAGUE
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) tetap dengan pendirian untuk menangguhkan Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, PSM tidak bercadang untuk meneruskan kejohanan itu walaupun PKP yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak dijadualkan tamat pada 4 Februari depan.

Biarpun PSM boleh mengemukakan rayuan bagi meneruskan saingan berkenaan, Ahmad Ismail berkata, badan induk itu lebih mengutamakan keselamatan semua pihak terlibat tatkala ancaman pandemik Covid-19 semakin membimbangkan.

“PSM mempunyai alasan kukuh untuk merayu tetapi pihak pengurusan mendapati angka positif ketika ini amat mengejutkan. Jadi kami bimbang dan tidak mahu timbul kluster STL. Maka demi keselamatan pemain dan pegawai terlibat, kita tangguh.

“Walaupun penangguhan meningkatkan kos, duit boleh dicari, nyawa manusia mana boleh beli. Jadi, kita tunggu PKP tamat, jika sambung kita tetap tidak buat (teruskan), dengan angka positif harian kini sudah mencecah lebih 4,000 kes,” katanya pada Isnin.

PSM sebelum ini menangguhkan STL Champions Cup yang berlangsung di Iskandar Puteri, Johor sebagai mematuhi arahan kerajaan berhubung pelaksanaan PKP.

Pada masa sama, Ahmad Ismail mengakui keputusan menangguhkan seketika kejohanan itu pasti mengundang rasa tidak senang segelintir pasukan yang bertanding.

“Sudah pasti apabila kita tangguh kejohanan, ia akan memberi sedikit masalah kepada sesetengah pasukan. Tapi adakah mereka lebih suka ia diteruskan supaya mereka tidak ada masalah, tetapi akhirnya jika ada salah seorang pemain terkena (jangkitan Covid-19) pada ketika itu, menyesal tidak berguna lagi.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya mahu memohon maaf kalau ada pasukan yang merasakan kita tidak patut tangguh, sebaliknya teruskan sahaja (STL Champions Cup),” katanya. - Bernama