Sila log masuk terlebih dahulu.

Awak-awak hilang, bot dilanggar kapal dagang

Kenyataan Jabatan Laut Malaysia yang dikongsi kepada media pada Selasa.
Kenyataan Jabatan Laut Malaysia yang dikongsi kepada media pada Selasa.
A
A
A

LUMUT - Seorang awak-awak hilang selepas bot dinaiki bersama dua rakan lain karam akibat dilanggar sebuah kapal dagang di perairan Lumut pada pagi Selasa.

Insiden sekitar jam 4 pagi itu berlaku pada kedudukan Lat 04° 29.489 N Long 100° 21.50 E, 13NM Pulau Talang di Perairan Lumut membabitkan kapal muatan pasir dengan bot nelayan tempatan.

Jabatan Laut Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kapal TB Glory 3 dengan pendaftaran Singapura itu dari Lumut menuju ke Port Blair, India.

Menurutnya, kesan pelanggaran telah mengakibatkan bot nelayan dinaiki tiga awak-awak warga Myanmar itu tenggelam.

"Dua daripada mereka telah diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Lumut, manakala seorang masih hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan bersama agensi lain termasuk Polis Marin pada jam 10 pagi diketuai Maritim Lumut," katanya.

Lanjutan insiden, Jabatan Laut Wilayah Utara telah menubuhkan pasukan siasatan bagi menyiasat punca kejadian.

Jabatan juga telah memohon pengeluaran Navigational text messages (Navtex) daripada Pusat Komunikasi Maritim Malaysia (PUSKOM) untuk memaklumkan kepada agensi perkapalan dan kapal-kapal supaya lebih berhati-hati untuk melalui kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Tiada tumpahan minyak di lokasi kejadian direkodkan setakat ini," kata kenyataan itu.