Jadilah Menteri Besar untuk semua

No Image Caption
A
A
A

SEJAK beberapa hari ini, nun di utara Semenanjung tanah air kecoh mengenai keputusan Menteri Besar Kedah yang membatalkan cuti perayaan Thaipusam di negeri itu.

Merak Jalanan pun mengikuti rapat kes ini memandangkan ada ramai juga kawan Merak Jalanan berketurunan India di Kedah dan Pulau Pinang.

Tindakan pembatalan cuti Thaipusam atas alasan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan seperti dijangka, tidak mengambil masa lama untuk panas.

Lebih dukacita, isu tersebut kini menjadi perang mulut antara pemimpin parti politik yang turut menghangatkan isu perkauman.

Mengikut kalendar tahunan, cuti Thaipusam ini merupakan cuti di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Bagaimanapun, cuti peristiwa Thaipusam di Kedah sebenarnya baru diisytiharkan beberapa tahun lalu.

Difahamkan, ia sebenarnya cuti yang dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) jika parti itu berjaya merampas negeri Kedah daripada Pas pada tahun 2013.

Merak Jalanan bukanlah hendak mempertikaikan keputusan MB Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang membatalkan cuti peristiwa perayaan ini.

Artikel Berkaitan:

Namun, agak menyedihkan sebagai pemimpin yang sepatutnya menyemarakkan keharmonian, MB harus lebih bijak menguruskan isu ini melangkaui negeri sendiri.

Membatalkan cuti yang disambut oleh masyarakat lain dan berlanjutan pula dengan perang mulut sehingga melibat isu perkauman adalah tidak perlu untuk seorang MB.

Ini kerana sebagai pemimpin, beliau mestilah menjadi MB untuk semua rakyat termasuk mereka yang tidak mengundi Pas pada PRU lalu.

Janganlah kita menjadi pemimpin yang menagih undi dan menabur janji pada musim pilihan raya sahaja.