Latihan tingkat keyakinan diri buat Zii Jia

Zii Jia bakal menghadapi tugas sukar pada Final Jelalah Dunia BWF kali ini.
Zii Jia bakal menghadapi tugas sukar pada Final Jelalah Dunia BWF kali ini.
A
A
A

SUSULAN keputusan mengecewakan pada dua kejohanan Terbuka Thailand baru-baru ini, pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia perlu memberi tumpuan bagi meningkatkan keyakinan diri menjelang Final Jelajah Dunia BWF bermula esok di Impact Arena, Bangkok.

Ketua jurulatih perseorangan negara Hendrawan berkata pemain nombor 10 dunia itu hilang kepercayaan diri sekali gus mempamerkan prestasi kurang memuaskan pada Terbuka Thailand Yonex dan Terbuka Thailand Toyota.

“Persiapan untuk World Tour Finals ini lebih fokus kepada taktik dan strategi serta meningkatkan kepercayaan diri kerana kita mengenal pasti kekurangannya pada dua kejohanan sebelum ini.

“Jadi, kita harap pada kejohanan terakhir ini (Final Jelajah Dunia BWF), beliau boleh mengeluarkan apa yang terbaik dan berjuang habis-habisan,” kata jurulatih berasal dari Indonesia itu.

Bagi Final Jelajah Dunia BWF yang akan berlangsung sehingga Ahad ini, pemain berusia 22 tahun berasal dari Kedah itu dijangka mengharungi cabaran lebih sengit apabila bakal berdepan lawan yang hebat.

Zii Jia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pemain nombor dua dunia Chou Tien Chen dari Taiwan, pemain nombor enam dunia Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia) dan bekas juara dunia dari Denmark Viktor Axelsen, yang berada dalam prestasi terbaik selepas menjuarai kedua-dua Terbuka Thailand itu.

Hanya dua pemain terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Pada Terbuka Thailand Yonex, Zii Jia tewas 17-21, 15-21 kepada Tien Chen pada pusingan suku akhir, dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia disusuli kekalahan 21-18, 25-27 dan 19-21 kepada pemain kurang ternama dari India Sameer Verma seawal pusingan pertama, dalam siri kedua kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000, Terbuka Thailand Toyota minggu lepas. - Bernama