MAB sasar dana RM400,000 bantu OKU penglihatan terjejas PKP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) menyasarkan dana berjumlah RM400,000 bagi membantu lebih 3,000 orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas berkata, menerusi inisiatif dengan kerjasama Asia School of Business itu, sumbangan dana akan diserahkan dalam bentuk bakul makanan yang bernilai antara RM100 hingga RM120 bagi satu keluarga.

“Sehingga hari ini, jumlah kutipan mencapai RM123,676 sejak dilancarkan Ahad lalu dan kami menyasarkan untuk memulakan pengagihan bakul makanan pada awal bulan depan.

“Setiap bakul makanan ini mengandungi 11 jenis barangan keperluan asas, antaranya, beras, minyak, gula, tepung, mi dan susu serta boleh bertahan sehingga 10 hari bagi satu keluarga,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, ramai OKU penglihatan kehilangan punca pendapatan sejak PKP dilaksanakan kerana tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan mereka di pusat urut yang mendorong pihaknya membuat kutipan dana sebagai kesinambungan program sumbangan ketika PKP pertama Mac tahun lepas.

Beliau juga berharap golongan tersebut akan menerima bantuan kewangan tambahan daripada kerajaan selain meminta kerajaan memberi kelonggaran untuk membuka pusat urut bagi membolehkan golongan OKU bekerja seperti biasa namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sementara itu, seorang OKU penglihatan dari Sabah, Mautitrika Abdul Taif, 43, mengakui sudah 14 hari tidak bekerja susulan pelaksanaan PKP sejak 13 Januari lepas.

“Selama ini, saya menyara keluarga dengan hasil komisen yang diterima sebagai tukang urut di Brickfields, namun sekarang saya langsung tiada punca pendapatan.

Artikel Berkaitan:

“Saya cuma berharap kepada elaun pekerja OKU yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berjumlah RM450 setiap bulan,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Berhad 514057637836 atas nama Malaysian Association for the Blind dengan nota rujukan Covid-19 ASB. - Bernama