X

Kindly register in order to view this article
!

Daesh tunjuk kekuatan di Baghdad

Inilah lokasi kejadian dua letupan bunuh diri di sebuah pasar menjual pakaian terpakai di Dataran Tayaran, Baghdad pada Khamis lalu. - Foto AFP
A
A

BAGHDAD - Militan Daesh yang suatu ketika dahulu menguasai beberapa wilayah di Iraq tetapi berjaya dikalahkan pada tahun 2017 kembali mendapat perhatian tentang kekuatannya selepas berlakunya dua serangan bom bunuh diri di Baghdad baru-baru ini.

Serangan itu menyebabkan 32 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam kejadian yang berlaku di sebuah pasar menjual pakaian terpakai di Dataran Tayaran, Baghdad pada Khamis.

Daesh kemudian mengaku bertanggungjawab dalam kedua-dua serangan itu yang di anggap paling buruk pernah berlaku dalam tempoh tiga tahun dan kali terakhir kejadian bunuh diri berlaku di dataran yang sama ialah pada Januari 2018 apabila 35 orang terkorban.

Serangan itu berlaku ketika Iraq akan mengadakan pilihan raya pada 10 Oktober depan selepas anggota-anggota Kabinet Iraq menangguhkannya daripada 6 Jun ke tarikh baharu sebelum penggal Parlimen negara itu berakhir pada tahun 2022.

Penangguhan itu juga dibuat setelah Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu meminta lebih banyak masa diberikan supaya ia boleh mengendalikan satu pilihan raya yang adil dan bebas.

Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhimi mengumumkan pilihan raya umum Iraq akan diadakan pada Jun 2021 iaitu lebih awal daripada tarikh asal iaitu pada bulan Mei 2022.

Ini adalah disebabkan oleh permintaan daripada penunjuk-penunjuk perasaan antikerajaan yang sejak tahun 2019 telah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran dengan sebahagian daripada penentang kerajaan dibunuh oleh pihak tentera dan kumpulan-kumpulan militan.

Sejak Oktober 2019, ribuan penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam dua gelombang tunjuk perasaan bagi menuntut lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, rasuah ditamatkan dan perkhidmatan agensi kerajaan ditambah baik.

Namun, serangan bunuh diri terbaharu itu jarang berlaku sejak Daesh berjaya dikalahkan selepas pemimpinnya, Abu Bakar al-Baghdadi, 49, terbunuh di Barisha, Syria semasa Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu operasi ketenteraan pada Oktober 2019.

Gambar fail menunjukkan dua askar Amerika Syarikat mengawal Pangkalan Taji yang menempatkan askar-askar Amerika dan Iraq di utara Baghdad. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan dua askar Amerika Syarikat mengawal Pangkalan Taji yang menempatkan askar-askar Amerika dan Iraq di utara Baghdad. - Foto AFP

Sebelum ini, beliau menjadi terkenal pada tahun 2014 selepas mengumumkan penubuhan kerajaan berasaskan sistem khalifah dan melaksanakan undang-undang syariah di wilayah-wilayah Iraq dan Syria.

Kumpulan itu, menurut BBC, telah melakukan banyak kekejaman dan telah membunuh ribuan orang.

Bilangan anggota kumpulan Daesh pula dianggarkan berjumlah 10,000 orang dan masih berada di Syria serta Iraq, lapor BBC dengan kebanyakannya bersembunyi dalam kalangan penduduk tetapi mudah untuk mendapatkan senjata.

Mereka juga dilaporkan mudah untuk mengeksploitasikan kesedihan atau dendam yang berlaku dalam komuniti Sunni.

Tentera perikatan yang diketuai AS pernah mengumumkan pada tahun lalu bahawa tentera Iraq mampu untuk berjuang bagi memerangi saki-baki anggota militan Daesh di negara tersebut.

Bagaimanapun, tahap keselamatan yang semakin baik di Iraq telah menyebabkan pihak berkuasa di Baghdad menarik semula dinding-dinding konkrit bagi melindungi letupan bom dan memindahkan pusat-pusat pemeriksaan yang sebelum ini menyebabkan kesesakan berlaku di bandar raya tersebut.

Kejadian letupan bom bunuh diri itu juga berlaku ketika bilangan askar AS semakin berkurangan di Iraq dan menurut seorang pengulas politik dan wartawan yang berpangkalan di Amman, Osama Al-Sharif, terdapat kira-kira 2,500 anggota tentera AS ketika tempoh penggal pemerintahan Presiden AS ke-45, Donald Trump meninggalkan Rumah Putih.

Sebelum ini, menurut Pentagon pada Disember 2017, bilangan anggota tenteranya di Iraq pada tahun tersebut ialah 5,200 orang.

Namun, jumlah askar-askar AS itu sebelum ini dilaporkan pernah mencecah kira-kira 112,000 orang di Iraq pada tahun 2004 dengan misi untuk mencari senjata pemusnah besar-besaran selepas terjadinya peristiwa serangan pengganas di AS pada 11 September 2001.

Seorang pakar keselamatan di Kolej King London, Profesor Peter Neumann dilaporkan berkata oleh portal berita BBC bahawa kejadian bom bunuh diri di bandar-bandar merupakan strategi Daesh bagi mewujudkan ketegangan mazhab.

Katanya, kejadian bunuh diri itu memberi petunjuk kepada para penyokongnya dan musuhnya bahawa Daesh masih wujud dan mempunyai kemampuan untuk melancarkan serangan besar. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!