50,850 premis patuh SOP PKP: KPDNHEP

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati sebanyak 50,850 premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pengarah penguat kuasanya, Azman Adam berkata, sebanyak 115 premis atau 0.225 peratus diberikan nasihat untuk penambahbaikan pematuhan SOP PKP dalam premis mereka.

Menurutnya, sebanyak 32 premis atau 0.062 peratus pula telah diberi amaran untuk tindakan segera penambahbaikan pematuhan SOP PKP.

"Hanya 15 premis atau 0.029 peratus gagal mematuhi SOP dan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Azman memaklumkan pihaknya melaksanakan pemeriksaan pematuhan SOP PKP setiap hari dan sebanyak 51,012 premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diperiksa.

Pada masa sama, pihaknya memastikan sektor perdagangan domestik berjalan dalam keadaan selamat dan terkawal ke arah pemulihan ekonomi negara.

Tambahnya, semua premis perniagaan perlu mematuhi SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP.

"Operasi premis perniagaan boleh dikenakan penutupan dengan segara jika SOP ini gagal dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP turut memberikan komitmen yang tinggi dan berterusan dalam menguatkuasakan SOP PKP.

"Semua pihak perlu berganding bahu memastikan sektor perdagangan domestik bukan menjadi penyumbang kepada jangkitan Covid-19," katanya.

Terdahulu, KPDNHEP telah mengeluarkan kelulusan kepada 46,921 perniagaan untuk beroperasi semasa PKP berdasarkan kepada kategori perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

"Antaranya, kompleks membeli-belah, pasar raya, farmasi, kedai serbaneka, dobi, Bengkel kenderaan dan premis jualan langsung.

"Turut dibenarkan departmental store, specialty store, restoran, kedai perabot, kedai cermin mata dan barang optik serta kedai elektrik dan elektronik," katanya.