Enam sasaran digariskan di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030

Redzuan (kiri) dan Md Silmi pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) di Kuala Lumpur pada Selasa.
Redzuan (kiri) dan Md Silmi pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam sasaran digariskan di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang akan digerakkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) selaku sekretariat dalam usaha memacu pembangunan ekonomi dan sosioekonomi bumiputera.

Ia terdiri daripada pendapatan isi rumah penengah sebanyak RM18,403; gaji atau upah penengah sebanyak RM5,169; aset kewangan per kapita sebanyak RM4,496 dan Sumbangan Gross Operating Surplus (GOS) Bumiputera Enterprise kepada KDNK 2030 sebanyak RM680 bilion.

Selain itu, turut dikenal pasti sebagai sasaran adalah penglibatan bumiputera dalam pekerjaan mahir (inter) sebanyak 3.2 juta pekerjaan dan pemilikan kediaman oleh bumiputera (intra) sebanyak 5.9 juta unit

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof berkata, dana sebanyak RM130 bilion diperlukan bagi merealisasikan TPB2030.

"Sebanyak RM50 bilion adalah daripada dana awam dan RM80 dana swasta. Teraju sebagai sekretariat tidak mempunyai peruntukan tersebut.

"Namun Teraju perlu memastikan ada pungutan dana-dana dari awam, kerajaan dan juga swasta melalui program-program tertentu yang dikenal pasti," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara dalam talian pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman.

Mesyuarat tersebut telah memperakui polisi, strategi dan inisiatif pembangunan bumiputera yang mampan melalui pembentangan hala tuju baharu melalui TPB2030.

Artikel Berkaitan:

Melalui TPB2030, enam bidang keutamaan dikenal pasti terdiri daripada penyampaian perkhidmatan; modal insan; pemilikan kekayaan; keusahawanan; ekuiti korporat dan tanah rizab Melayu, wakaf, adat.

Selain itu, tujuh 'Key Economic Growth Activities' (KEGA) iaitu sektor-sektor ekonomi bernilai tinggi turut dikenal pasti untuk mencapai enam sasaran tersebut menjelang tahun 2030.

Ia terdiri daripada kewangan Islam; ekonomi digital; logistik; pengangkutan dan kelestarian mobiliti; pelancongan; pertanian dan komoditi, halal dan makanan serta pembuatan.

Sementara itu, Redzuan berkata, hasil mesyuarat tersebut juga menuntut tambahan pelbagai sektor, antara lain melibatkan pembangunan tenaga hijau, industri kreatif untuk dimasukkan dalam agenda berkenaan.

"(Namun) nampak lebih memberi impak tinggi kepada pembangunan bumiputera di semua peringkat adalah melibatkan pendigitalan dan sektor pertanian moden," katanya.

Jelas beliau, Teraju turut diberi mandat bagi mengumpulkan segala bentuk data yang berada di setiap agensi kerajaan untuk diselaraskan agar satu keputusan yang lebih tepat dapat dibuat.

Katanya, turut diberi penekanan terhadap gerakan pembangunan bagi bumiputera minoriti di Sabah dan Sarawak.

"Kita akan terus berhubung dengan kementerian-kementerian yang menjadi ahli majlis juga supaya mewujudkan unit penyertaan bumiputera dalam kementerian masing-masing," katanya. - Bernama