Varian B.1.1.7 lebih berbahaya

Lebih 70 kes jangkitan membabitkan varian baharu, B.1.17 telah dikesan di 12 negeri AS. Gambar kecil: Dr Anthony Fauci.
Lebih 70 kes jangkitan membabitkan varian baharu, B.1.17 telah dikesan di 12 negeri AS. Gambar kecil: Dr Anthony Fauci.
A
A
A

WASHINGTON - Pakar penyakit berjangkit di Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci pada Isnin memberi amaran varian bermutasi Covid-19 yang menyerang United Kingdom (UK) adalah lebih berbahaya daripada jenis asal virus itu.

Penilaian baharu itu dikeluarkan Ketua Penasihat Perubatan Presiden baharu, Joe Biden selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menjangkakan varian B.1.1.7 akan menjadi dominan di AS menjelang awal Mac depan.

Kenyataan itu sekali gus menyokong penilaian pihak berkuasa kesihatan di Washington beberapa minggu lalu yang mendakwa varian baharu dari UK itu lebih mudah berjangkit walaupun tiada bukti menunjukkan ia lebih berbahaya.

Fauci menerusi wawancara dalam program Today disiarkan NBC turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesimpulan dibuat kumpulan penasihat sains kerajaan UK pada Jumaat yang mendakwa terdapat kemungkinan jangkitan varian B.1.1.7 ada kaitan dengan peningkatan risiko kematian berbanding jenis virus bermutasi lain.

“Data itu belum dikeluarkan secara rasmi. Tetapi, saya amat yakin dengan tahap keseriusan sebenar kes jangkitan varian baharu tersebut. Kita perlu sentiasa berwaspada,” katanya.

Susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ancaman sebenar varian B.1.1.7, UK akan menawarkan kepakaran genom mereka kepada negara yang kekurangan sumber untuk mengenal pasti varian baharu Covid-19.

“Makmal di London akan melakukan kajian terhadap sampel dari negara luar atau memberikan nasihat pakar dan sokongan jarak jauh kepada pihak yang memerlukan bantuan kami,” kata Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock yang menjelaskan negara itu telah melakukan kajian terhadap lebih separuh daripada kesemua urutan genom SARS-CoV-2 pada pangkalan data global.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, UK juga akan menawarkan sumber untuk membantu negara antarabangsa menganalisis virus bermutasi melalui Platform Penilaian Varian Baharu yang akan diketuai Jabatan Kesihatan Awam England (PHE) dengan kerjasama Kumpulan Kerja Makmal Global SARS-CoV-2 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, UK turut berharap untuk menjadikan Sidang Kemuncak G7 sebagai platform bagi mendorong lebih banyak kolaborasi dan sistem kesihatan global secara efektif untuk memastikan komuniti antarabangsa sentiasa bersiap-sedia menghadapi ancaman pada masa depan. - Agensi