Kakitangan awam sokongan perlu diberi jaminan keselamatan

ADNAN MAT
ADNAN MAT
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap agar kakitangan awam yang memberi sokongan kesihatan dan keselamatan diberi jaminan dari segi keselamatan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat perlu memberikan penekanan yang lebih serius berkaitan isu kekurangan peralatan perlindungan diri, jadual waktu bertugas serta tempoh masa bertugas.

Menurutnya, perkara tersebut perlu diatasi agar tiada isu berbangkit terutama yang melibatkan keselamatan daripada jangkitan Covid-19.

“Cuepacs juga berharap agensi yang bertindak sebagai penyelaras dapat mengeluarkan pekeliling yang jelas agar tidak menjadi kebimbangan dalam kalangan penjawat awam.

“Cuepacs yakin penjawat awam tiada masalah dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diberikan kerana setiap daripada mereka telah dilatih untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Dalam masa yang sama, perlu dipastikan bahawa tugas yang sedang dilaksanakan oleh kakitangan awam yang dipinjam itu tidak terjejas di jabatan mereka bagi mengelakkan khidmat kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, kerajaan akan melakukan penjajaran sementara terhadap semua sumber dan fasilitinya termasuk kakitangan awam berikutan pelaksanaan Ordinan Darurat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, usaha itu bagi menyokong perkhidmatan kesihatan dan keselamatan negara yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, Adnan berkata, penjawat awam bersedia memikul amanah yang diberikan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin sepanjang pelaksanaan perintah darurat.

Menurutnya, perkara tersebut dilihat penting kerana aspek kesihatan dan keselamatan merupakan elemen utama bagi memastikan negara mampu menghadapi krisis kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19.

Katanya, sokongan kepada perkhidmatan kesihatan dan keselamatan mampu meredakan sedikit tekanan yang dipikul oleh petugas kesihatan ketika ini yang berada pada tahap maksimum.