Air Terjun Tanjung Batu akan diwarta hutan perlindungan

Mohd Akmal menunjukkan kebersihan dan kualiti bekalan air di Air Terjun Tanjung Batu yang masih terpelihara dan berada di tahap kelas pertama iaitu dalam keadaan semula jadi.
Mohd Akmal menunjukkan kebersihan dan kualiti bekalan air di Air Terjun Tanjung Batu yang masih terpelihara dan berada di tahap kelas pertama iaitu dalam keadaan semula jadi.
A
A
A

MANJUNG - Kawasan Air Terjun Tanjung Batu di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang yang sebelum ini tular berlakunya kemusnahan alam akan diwartakan sebagai hutan perlindungan.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, langkah itu bagi memastikan kawasan hutan simpan di situ dipelihara sepenuhnya daripada sebarang kegiatan pengkuarian dan pembalakan.

Menurutnya, daripada siasatan dan pemeriksaan dilakukan, kawasan air terjun terbabit masih terpelihara daripada sebarang kerosakan dengan kebersihan dan kualiti bekalan airnya di tahap kelas pertama iaitu berada dalam keadaan semula jadi.

"Saya sudah melihat air terjunnya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah mengesahkan bahawa air di situ boleh dibuat minum tanpa apa-apa tapisan.

"Atas sebab itu, kita telah mengesyorkan agar air terjun berkenaan yang berada dalam Kompartmen 15 HSK Segari Mintang diletakkan sebagai hutan perlindungan.

"Ini komitmen dan janji kerajaan negeri dalam memastikan kawasan itu terus terpelihara dan bebas daripada aktiviti kuari dan pembalakan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan ke Air Terjun Tanjung Batu di sini pada Selasa.

Mohd Akmal menunjukkan laporan Sinar Harian 17 Januari lalu berhubung kemusnahan alur air bermusim yang digelar Air Terjun Tanjung Batu oleh penduduk tempatan.
Mohd Akmal menunjukkan laporan Sinar Harian 17 Januari lalu berhubung kemusnahan alur air bermusim yang digelar Air Terjun Tanjung Batu oleh penduduk tempatan.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Negeri kini dalam proses membuat pewartaan berkenaan dan dijangka mengambil kira kawasan lain yang mempunyai nilai kepentingan sama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, proses berkenaan akan mengambil masa kerana masih memerlukan dapatan kajian lain.

"Tujuan utama penwartaan ini untuk jaminan hutan kita pada masa akan datang. Bagi aktiviti outdoor seperti hiking, mandi, berkelah serta tujuan kajian, ia masih dibenarkan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, kerosakan alam sekitar seperti yang dilaporkan, langsung tidak menjejaskan kawasan Air Terjun Tanjung Batu.

Katanya, mengikut laporan Jabatan Ukur dan Pemetaan, kawasan dimaksudkan adalah alur air bermusim yang berada di kompartmen berlainan kira-kira satu kilometer dari lokasi air terjun.

"Saya dimaklumkan, orang kampung turut gelarkan alur itu sebagai Air Terjun Tanjung Batu, yang itu kita akan siasat nanti, tetapi semakan dibuat jabatan menunjukkan kawasan itu masih tiada nama.

"Berbanding lokasi sebenar Air Terjun Tanjung Batu yang memang sudah disahkan dan berada dalam pemetaan negeri Perak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembaikan, pemulihan Air Terjun Tanjung Batu dilakukan

Air Terjun Tanjung Batu musnah