Bekalan, harga pasaran bawang kembali stabil

KPDNHEP memaklumkan bekalan dan harga bawang di pasaran kembali stabil dan cukup untuk pengguna sehingga bulan Ogos 2021. - Gambar hiasan 123RF
KPDNHEP memaklumkan bekalan dan harga bawang di pasaran kembali stabil dan cukup untuk pengguna sehingga bulan Ogos 2021. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bekalan dan harga bawang di pasaran kembali stabil dan cukup untuk pengguna sehingga bulan Ogos 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, meskipun kadar penggunaan bawang mungkin berkurang berikutan sambutan musim perayaan Tahun Baharu Cina yang dijangka disambut secara sederhana dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, pihak KPDNHEP telah menjalankan satu lawatan pemeriksaan perniagaan bawang bagi memastikan keberadaan bekalan dan harga bawang di salah sebuah premis perniagaan yang berperanan sebagai pengimport dan pemborong di Klang, Selangor.

“Hasil daripada lawatan tersebut, pihak kami dimaklumkan bekalan bawang kini berada dalam keadaan yang stabil dan cukup untuk keperluan pengguna di Malaysia, dijangka sehingga bulan Ogos 2021.

“Ini kerana negara pengimport utama bagi bekalan bawang iaitu India telah pulih daripada masalah banjir dan telah mula mengeksport bekalan bawang ke luar untuk memenuhi permintaan khususnya di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bekalan bawang di Malaysia diimport dari 24 buah negara di mana lima negara merupakan pengeksport terbesar iaitu India (31 peratus), Pakistan (24 peratus), China (22 peratus), Belanda (10 peratus), Thailand (enam peratus), New Zealand (tiga peratus) dan lain-lain (empat peratus).

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, India merekodkan jumlah pengeksport bawang terbesar iaitu sebanyak 152,519 tan metrik.

“Permintaan tinggi bagi bawang dari India kerana ia memenuhi cita rasa rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu bawang kecil merah import (India), bawang besar import (India), bawang merah import (China), bawang kecil merah import (China), bawang kecil merah rose (Import), bawang kecil merah import (Myanmar), bawang kecil merah (Thailand) dan bawang besar kuning (Holland),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan KPDNHEP menerima rungutan sebilangan pengguna berkenaan isu bekalan dan harga bawang sebelum ini.

“Untuk makluman pengguna, KPDNHEP bertindak untuk memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah berlaku dalam pasaran termasuk bekalan bawang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak KPDNHEP bertindak menjalankan pemeriksaan secara konsisten bagi barangan keperluan asas dalam tempoh PKP secara harian.

“Pemeriksaan dijalankan sehingga sejak 18 Mac 2020 sehingga 25 Januari 2021, sejumlah 240,026 premis telah diperiksa terdiri daripada peruncit (177,975), pemborong (52,988) dan pengilang (9,063).

“Hasil pemantauan yang dijalankan di seluruh negara sehingga 25 Januari 2021 mendapati kedudukan keberadaan bekalan barang keperluan harian seperti bawang telah berada pada peratusan keberadaan yang semakin stabil dan baik,” katanya.