'Sampai bila nak tadah, angkut air ke rumah'

Penduduk Kampung Pulau Sayak di Kota Kuala Muda beratur bagi mendapatkan air di tangki sementara yang dipasang di kawasan terjejas.
Penduduk Kampung Pulau Sayak di Kota Kuala Muda beratur bagi mendapatkan air di tangki sementara yang dipasang di kawasan terjejas.
A
A
A

KOTA KUALA MUDA - Lebih 50 penduduk di Kampung Pulau Sayak di sini berdepan masalah air sejak dua minggu lalu sehingga menyukarkan aktiviti harian mereka khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penduduk, Azhari Mohd Yusof, 51, berkata, masalah itu berpunca daripada tekanan air rendah berikutan rumah mereka terletak di kedudukan lebih tinggi di atas bukit.

Menurutnya, kebanyakan penduduk yang bekerja sebagai nelayan mengharapkan agar masalah air dapat diatasi segera memandangkan sudah penat mengangkut air setiap hari.

"Isu air ni sudah bertahun berlaku di sini disebabkan bekalan tidak menentu. Bagaimanapun ia menjadi lebih teruk sejak kebelakangan ini.

"Kami nak sangat pihak berkaitan beri perhatian. Sampai bila kami kena tadah air dan angkut naik atas rumah," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Azhari Mohd Yusof
Azhari Mohd Yusof

Seorang lagi penduduk, Abd Aziz Saad, 66, berkata, keadaannya yang uzur akibat masalah buah pinggang dan gout menyebabkan dia hanya mengharapkan isterinya, Rokiah Daud, 64, mengangkut air dengan bantuan cucu.

"Nak berjalan sudah tak larat. Kena guna tongkat, itu pun hanya bergerak dalam rumah sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Bila air tak ada, saya hanya mandi dua atau tiga hari sekali, kena berjimat.

"Kasihan pada isteri saya yang angkut air. Dia pun sakit lutut. Semalam naik motor angkut air, terbalik pulak motor, tapi mujur hanya cedera ringan dan bengkak di tangan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Azni Saidin, 42, berkata, dia menggunakan bantuan motosikal roda tiga yang sebelum ini digunakan suami untuk menjual ikan bagi mengangkut air ke rumah sejak dua minggu lalu.

"Setiap hari kenalah berulang-alik angkut air sebab anak-anak semuanya ada di rumah. Suami pula turun ke laut. Masa PKP tak pergi mana, air memang diperlukan setiap hari untuk mencuci dan memasak," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim berkata, pihaknya sudah beberapa kali turun padang setelah dimaklumkan perkara itu.

Beliau berkata, tindakan jangka pendek telah diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

Abd Aziz dan isteri memohon agar bekalan air disalurkan ke paip rumah seperti sedia kala.
Abd Aziz dan isteri memohon agar bekalan air disalurkan ke paip rumah seperti sedia kala.

Menurutnya, inisiatif Pusat Khidmat Dun Pantai Merdeka dengan kerjasama Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah menyediakan sebuah tangki air yang diletakkan di kawasan terjejas agar bekalan air tidak terputus.

"Tangki ini diletakkan sebulan lalu bagi membekalkan kemudahan air kepada penduduk, bagaimanapun kaedah jangka masa panjang akan dilaksanakan termasuk menggunakan kaedah pam yang akan mengagihkan air kepada 16 akaun berdaftar," katanya.

Beliau berkata, permintaan penduduk untuk mendapatkan bekalan air masuk ke paip rumah sedang diusahakan, namun mengambil tempoh masa untuk melaksanakannya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Korporat SADA, Anas Aidi Md Rozai berkata, sistem agihan air akan dilakukan kepada penduduk terjejas dan kelulusan untuk tindakan tersebut sudah dipersetujui dengan kadar segera.

Menurutnya, SADA akan melakukan pemasangan pam di tapak tanah yang telah dikenal pasti menerusi kaedah yang mengambil masa beberapa proses, antaranya pembinaan tapak dan penyediaan paip sokongan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan SADA untuk pembinaan Rumah Pam Pulau Sayak juga telah diterima dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan kini sedang dalam proses dokumentasi.

Azni menggunakan bantuan motosikal roda tiga yang digunakan suami untuk menjual ikan sebelum ini bagi mengangkut air.
Azni menggunakan bantuan motosikal roda tiga yang digunakan suami untuk menjual ikan sebelum ini bagi mengangkut air.