95 peratus pesakit Covid-19 di Rwanda dirawat di rumah

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KIGALI - Majoriti pesakit Covid-19 di Rwanda diberi khidmat rawatan di rumah, kata Kementerian Kesihatan pada Isnin ketika negara itu menghadapi lonjakan kes terbaru, lapor Agensi Anadolu.

Menurut garis panduan kementerian, pesakit yang dirawat di rumah disarankan untuk mengasingkan diri dan mengelakkan sebarang kontak dengan individu serumah.

"Daripada lebih 4,000 kes Covid-19 yang aktif di negara ini, 95 peratus menerima rawatan di rumah mereka. Hanya sebilangan kecil yang dimasukkan ke hospital dan pusat rawatan lain,” kata Menteri Kesihatan Daniel Ngamije.

Katanya, mereka yang menjalani rawatan di rumah dipantau setiap hari dengan bantuan pekerja kesihatan masyarakat untuk memastikan mereka mendapat rawatan dan tidak melanggar peraturan kuarantin, katanya.

Pesakit juga diberi talian bebas tol untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

Seorang penduduk Kigali yang sudah pulih, Japhet Gakuba berkata menerima rawatan di rumah mengurangkan tekanan.

Sementara itu, Ngamije mengatakan, Rwanda memiliki kemampuan untuk menerima 500 pesakit yang berada di bawah rawatan intensif.

Selain pusat rawatan Covid-19, hospital di seluruh negara menyediakan sekurang-kurangnya 10 katil unit rawatan rapi yang lengkap untuk tangani kes kecemasan, jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Sabtu lalu melancarkan ujian besar-besaran untuk warga emas dan kumpulan berisiko tinggi di Kigali, daripada 4,500 individu yang diuji pada hari pertama, 220 disahkan positif.

Ujian itu yang berlangsung hingga Isnin, menyasarkan lebih 20,000 orang di seluruh Kigali.

Seorang wakil kementerian, Julien Niyingabira memberitahu Agensi Anadolu bahawa ujian percuma membantu pihak berkuasa kesihatan menentukan tahap penularan virus di kota itu.

Kabinet Rwanda minggu lalu melanjutkan tempoh kawalan pergerakan kepada 15 hari lagi di ibu negara kerana terdapat peningkatan kes. Sehingga Ahad, kes disahkan di negara Afrika timur itu mencecah12,975, dengan 4,381 kes aktif dan 174 kematian.

Kerajaan baru-baru ini melancarkan pusat rawatan Covid-19 baharu di Kigali yang telah meningkatkan pengurusan kes dengan ketara dengan menawarkan terapi oksigen standard tertinggi. - Bernama