KPT usaha sediakan kemudahan kepada pelajar IPT

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang menyediakan kemudahan komputer riba, komputer meja dan data untuk membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutama daripada kategori B40.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sebanyak 3,997 komputer riba dan komputer meja sedang dalam proses perolehan oleh KPT untuk diedarkan kepada mereka.

Beliau berkata, sejak pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar IPT daripada kategori B40 bersasar pada 30 Oktober lalu, sebanyak 195,028 pelan data dan 3,773 peranti sudah diedarkan sehingga 31 Disember lalu.

“KPT juga telah mengadakan perbincangan bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi inisiatif pinjaman kewangan di bawah Skim BSN MyRinggit-i COMSIS bagi pembelian komputer riba oleh pelajar IPT,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, inisiatif lain KPT ialah mendapatkan tawaran yang terbaik daripada syarikat pembekal pelan dan peranti bagi memudahkan para pelajar.

Terdahulu, antara pakej istimewa yang ditawarkan ialah Celcom EL30 (RM30), Celcom Xpax 35 (RM35), Maxis Hotlink (RM30, RM40, RM50), Digi (RM28, RM35), Unifi Mobile pasca bayar (RM59) dan Unifi Mobile prabayar (RM35).

Bagi peranti pula, pakej istimewa ialah Acer Student Purchase Program-MOHE sebanyak lima hingga tujuh peratus diskaun (produk terpilih), Samsung Education Store bermula daripada 15 peratus (semua produk dan aksesori) dan Education AOS Store Home diskaun antara RM85 hingga RM420 (mengikut jenis produk).

Selain itu, beliau berkata, KPT melalui Yayasan Sukarelawan Siswa juga telah melancarkan satu inisiatif tabung derma melalui Tabung Prihatin Siswa sebagai satu platform bagi mempelawa pihak luar menyalurkan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah bagi membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa kekangan.

“Sesungguhnya, akses kepada capaian internet sangat kritikal bagi membolehkan pelajar menjalani sesi PdP secara dalam talian dengan kondusif.

“Tidak dinafikan, pelajar perlu menanggung kos yang tinggi bagi melanggani pakej pelan data untuk capaian internet tersebut,” katanya.

Menurut Noraini, pihak ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun 5660-1062-2566 (Maybank) atau melalui dalam talian dengan klik pautan di www.billplz.com/tabungsiswa.

Beliau berkata, KPT komited untuk memastikan semua pelajar IPT mampu mendapatkan capaian internet walau di mana sahaja mereka berada.

Menurutnya, perkara tersebut penting bagi KPT menjayakan aspek ekuiti apabila semua pelajar mendapat hak pendidikan yang setara tanpa jurang antara bandar dan luar bandar.