Kes pulih melebihi kes positif empat hari berturut-turut

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 4,076 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dilaporkan di negara ini pada Selasa sekali gus merekodkan kes pulih melebihi kes positif harian selama empat hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, jumlah keseluruhan kes pulih ialah sebanyak 149,160 kes.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 3,585 kes baharu pada Selasa.

"Ia membabitkan dua kes import dan sebanyak 3,583 kes penularan dalam negara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kes kematian berkaitan Covid-19 pada Selasa pula meningkat kepada 700 orang selepas 11 lagi pertambahan kes dilaporkan.

Menurutnya, kes kematian itu melibatkan empat dari Kuala Lumpur, selain Sarawak (tiga kes) dan masing-masing satu kes dari Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

"Sebanyak 10 kes kematian pada hari ini (Selasa) melibatkan rakyat dan seorang pesakit warga asing," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat tujuh kluster baharu yang telah dikenal pasti melibatkan tiga kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti, satu kluster keagamaan dan satu kluster pusat tahanan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kluster berkenaan ialah Kluster Jalan Cochrane (Kuala Lumpur), Jalan Platinum (Johor), Intan Delima (Negeri Sembilan), Jalan Padi Mahsuri (Johor), Kampung Bukit Putera (Terengganu), Keladi Saga (Kedah) dan Tembok Bukit Besi di Terengganu.