MIC tiada masalah dengan Pas, cuma kecewa sikap Sanusi

Vell Paari
Foto: Bernama
Vell Paari Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - MIC tidak mempunyai masalah dengan Pas, sebaliknya mereka kecewa dengan sikap Menteri Besar Kedah daripada Pas, Muhammad Sanusi Md Nor yang disifatkan sebagai angkuh dalam beberapa isu melibatkan kaum India di Kedah.

Bekas Setiausaha Agung MIC, Senator Datuk Seri S Vell Paari berkata, ketika Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar Kedah, masyarakat India di negeri itu tidak mempunyai masalah dan tidak ada sebarang rungutan terhadap kerajaan Pas di negeri terbabit.

"Saya akui, kadangkala terdapat perbezaan pendapat antara masyarakat dengan pimpinan kerajaan negeri, tetapi selalunya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua-dua belah pihak.

"Malangnya, di zaman Muhammad Sanusi menjadi Menteri Besar, terdapat kes-kes masyarakat minoriti di Kedah terutama masyarakat India dibuli dan dihina oleh beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, Muhammad Sanusi turut dilaporkan tidak mahu lagi melayan kenyataan pemimpin MIC termasuk amaran parti itu yang tidak akan menyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhammad Sanusi mendakwa, parti itu juga tidak menyokong Pas, bahkan kebanyakan ahli parti itu menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Mengulas lanjut, Vell Paari berkata, secara jelas ia membuktikan bahawa di dalam asid deoksiribonukleik (DNA) Muhammad Sanusi sahaja yang mempunyai masalah dengan kaum minoriti di negara ini terutama masyarakat India.

"Tindakan beliau ini jauh menyimpang dari ajaran Tuan Guru Nik Aziz (bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat) yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi antara kaum dan agama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan Muhammad Sanusi bahawa pada 29 Mac 2019 ketika Pas masih lagi sebahagian blok pembangkang bersama Barisan Nasional (BN), Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat MIC.

Malah, katanya, Abdul Hadi menghargai keterbukaan yang ditunjukkan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan berharap agar hubungan itu dapat dieratkan dengan kerjasama berterusan demi kebaikan serta keharmonian semua kaum dalam negara.

"Sikap mulia Presiden Pas ketika itu telah membuka peluang kerjasama antara Pas dan MIC di mana MIC percaya Pas akan mempertahankan hak-hak kaum minoriti di negara ini.

"Malangnya, kerjasama antara MIC dan Pas seperti yang diharapkan oleh Presiden Pas kini disabotaj dan dimusnahkan oleh Menteri Besar Kedah," katanya.

Tambah beliau, Muhammad Sanusi harus faham bahawa satu perkara mengenai rakyat Malaysia ialah mereka selalu menantikan hari cuti awam.

Menurutnya, kerana ingin membalas dendam terhadap kaum India, Menteri Besar Kedah membatalkan cuti Thaipusam di Kedah dengan memikirkan tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh enam peratus orang India di negeri berkenaan.

"Namun bukan enam peratus ini yang harus anda risaukan, tetapi baki 94 peratus penduduk Kedah yang cuti am mereka baru sahaja anda batalkan," katanya.