Covid-19: Malaysia peroleh 18.4 juta dos Sinovac, Sputnik V

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba (kanan) mewakili kerajaan Malaysia menunjukkan terma dan syarat yang ditandatangani dengan Pharmaniaga dan Duopharma pada Selasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba (kanan) mewakili kerajaan Malaysia menunjukkan terma dan syarat yang ditandatangani dengan Pharmaniaga dan Duopharma pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia dijangka akan memperolehi 18.4 juta dos vaksin Covid-19 iaitu Sinovac dan Sputnik V secara berperingkat mulai Mac depan.

Ia selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan Malaysia menandatangani dokumen terma dan syarat dengan dua syarikat pembekal vaksin iaitu Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) dan Duopharma (M) Sdn Bhd pada Selasa.

KKM menerusi laman Facebooknya berkata, Syarikat PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos Covid-19 Coronavac, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan oleh Sinovac Life Science Co Ltd.

"Pembekalan vaksin ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai April 2021," kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, syarikat Duopharma pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia.

"Vaksin ini dijangka akan mula dibekalkan secara berperingkat mulai penghujung Mac ini," katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba (kanan) mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani terma dan syarat dengan Pharmaniaga dan Duopharma pada Selasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba (kanan) mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani terma dan syarat dengan Pharmaniaga dan Duopharma pada Selasa.

Menurut KKM, setiap penerima akan diberi dua dos suntikan vaksin Sinovac dan dos kedua akan diberikan selepas 14 hari suntikan dos pertama.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan 12 juta dos Sinovac, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada enam juta orang atau 18.75 peratus daripada jumlah populasi di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

"Penerima vaksin Sputnik V juga akan turut menerima dua dos suntikan dengan suntikan kedua dibuat pada hari ke-21 selepas dos pertama.

"Dengan jumlah 6.4 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada 3.2 juta orang atau 10 peratus daripada jumlah populasi yang berusia 18 tahun ke atas," katanya.

Menurut kenyataan itu, perolehan vaksin akan dimulakan setelah mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Sebelum ini, KKM telah menandatangani perjanjian pembekalan vaksin dengan syarikat Pfizer- BioNTech dan AstraZeneca.

Jumlah dos vaksin yang telah diperolehi dari kedua-dua syarikat itu ialah masing-masing sebanyak 24.28 juta dos dan 6.4 juta dos.

Perolehan vaksin akan diselaraskan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang ketika ini dalam proses akhir mendapat kelulusan kerajaan.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 sebelum ini menetapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dibahagikan kepada tiga fasa.

Barisan hadapan akan menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin yang dijangka akan diperolehi pada 26 Februari depan, disusuli golongan rentan dan dewasa yang berusia 18 tahun ke atas.

Kanak-kanak, wanita mengandung dan ibu menyusu antara golongan yang tidak akan menerima suntikan vaksin Covid-19.