Anggota polis hadapi 43 pertuduhan rasuah

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Selasa atas 43 pertuduhan rasuah.

Tertuduh, Zubairi Abdul Mutalib, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan serentak bersama 43 pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini.

Zubairi berpangkat koperal didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan di bawah Akta Perikanan 1985.

Mengikut pertuduhan kes, Zubari yang bertugas sebagai ketua jentera bot ronda di pengkalan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan menerima suapan berupa wang tunai daripada Lim Mee Lan antara Mei 2016 dan Julai 2019 supaya tidak mengambil tindakan terhadap 18 bot nelayan.

Dalam tempoh tersebut, tertuduh menerima suapan RM150 sehingga RM4,700 dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM146,350.

Jika sabit kesalahan, hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, dia turut didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara iaitu boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin meminta mahkamah mengenakan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhamad Aizad Fakri meminta wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Priscilla kemudian menetapkan jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan bagaimanapun tertuduh gagal membayar kerana kesuntukan masa.

Tertuduh dihantar ke lokap SPRM sementara menunggu sambungan semula kes pada Rabu.

Mahkamah menetapkan agar baki 101 pertuduhan didengar pada Rabu bersama pertuduhan pilihan.