X

Kindly register in order to view this article
!

Kehadiran Tuchel beri manfaat kepada Pulisic

Christian Pulisic
A
A

KEHADIRAN Thomas Tuchel selaku pengendali baharu Chelsea diharap memberikan manfaat khususnya kepada pemain Amerika Syarikat, Christian Pulisic yang pernah berada di bawah kendaliannya ketika beraksi bersama Borussia Dortmund musim 2016 lalu.

Perkara itu ditegaskan pengendali skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Gregg Berhalter yang berharap kehadiran Tuchel dapat membantu menyemarakkan lagi semangat Pulisic yang sememangnya memahami corak latihan yang akan diterapkan kelak.

“Kedua-dua mereka ini saling mengenali antara satu sama lain dan bagi saya ia perkara yang penting ketika ini.

“Bagi Tuchel, dia telah melihat perkembangan Pulisic ketika di Dortmund dan itu memberikan kelebihan kepadanya dan begitu juga sebaliknya.

“Secara keseluruhannya, saya merasakan Pulisic tidak akan berdepan masalah untuk menerima dan seterusnya mengaplikasikan corak latihan yang diterapkan Tuchel,” katanya.

Terdahulu Tuchel diberitakan bersetuju untuk mengendalikan skuad The Blues itu setelah pemecatan Frank Lampard pada Isnin.

Chelsea yang berada pada kedudukan kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini dengan 29 mata hasil lapan kemenangan, lima seri dan tewas enam perlawanan daripada 19 perlawanan bakal berdepan Wolves di Stamford Bridge pada awal pagi Khamis ini.

Mengulas mengenai pemecatan Lampard, Berhalter berkata, ia sebagai satu tindakan daripada pihak pengurusan tertinggi Chelsea berikutan prestasi hambar The Blues dalam saingan EPL musim ini.

Bagaimanapun Berhalter tidak menafikan pemecatan Lampard mungkin berdasarkan kepada cabaran getir yang dihadapi bekas pemain England itu dalam mengharungi saingan EPL hari ini.

“Bagi saya saingan EPL sungguh mencabar dan semua pihak tahu status Chelsea sebagai sebuah kelab yang besar dan ternama.

“Justeru, sudah tentu harapan besar diberikan kepada kelab untuk mencatatkan kejayaan yang berterusan dan ini menjadikannya tugas selaku pengurus semakin sukar,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!