X

Kindly register in order to view this article
!

Penolong penguasa penjara mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah

Foto 123RF
A
A

ALOR SETAR - Seorang penolong penguasa penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa terhadap pertuduhan meminta dan menerima rasuah kira-kira lima tahun lepas.

Tertuduh, Zaharil Effendy Zaharudin, 38, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan RM20,000 daripada Saadin Ayub di tepi jalan Pantai Chenang, Langkawi kira-kira 12 tengah malam pada 12 Mei 2016.

Zaharil Effendy didakwa meminta rasuah sebagai dorongan untuk menukar pertuduhan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kepada kesalahan seksyen yang lebih ringan terhadap Mohd Faizal Saidin.

Dalam pertuduhan lain, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM1,300 dan RM700 daripada Saidin di Maybank Simpang Kuala di sini masing-masing pada 22 Mei 2016 dan 23 Mei 2016 melalui akaun adik ipar tertuduh, Noor Shahida Ghazali sebagai dorongan untuk tujuan sama.

Dalam pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa menerima suapan RM1,000 melalui akaun isterinya Noor Shahneem Ghazali daripada Saidin bagi tujuan yang sama kira-kira 10.30 pagi pada 25 Julai 2016 di bank sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 21(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 28 Februari depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Murtazadi turut mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh supaya melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan dan menyerahkan dokumen perjalanan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!