Sejam kepung ‘raja ular’

Tedung selar sepanjang enam meter akhirnya tumpas selepas sejam dikepung anggota APM Jeli.
Tedung selar sepanjang enam meter akhirnya tumpas selepas sejam dikepung anggota APM Jeli.
A
A
A

JELI - Kira-kira satu jam diambil anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jeli mengepung sebelum berjaya menangkap seekor ular tedung selar di Kampung Berdang.

Pegawai APM daerah, Leftenan Pertahanan Awam (PA) Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, tiga anggotanya dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada seorang pemilik rumah di kampung berkenaan.

“Masa yang sedikit panjang diambil anggota selepas ular yang pada mulanya ditemui di belakang rumah pengadu cuba lari dengan masuk ke dalam lubang di bawah rumah berkenaan.

“Dengan kemudahan peralatan yang ada akhirnya ular seberat 20 kilogram dengan panjang enam meter itu berjaya ditangkap,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Suhaizi berkata, ular berkenaan merupakan yang kedua ditangkap anggota di kawasan sama selepas tangkapan pertama empat hari sebelum itu.

“Ular kedua ini dari spesies yang sama cuma saiznya lebih besar berbanding yang pertama,” katanya.

Sementara itu, menurut pemilik rumah, Zahari Musa, 51, ular berkenaan ditemui ketika cuba membaham beberapa ekor ayam dan kucing yang berkeliaran di belakang rumahnya.

Artikel Berkaitan: