Kotor dan jijik, premis proses ikan diarah tutup

Keadaan di premis berkenaan yang beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikan. - Foto Facebook DBKL
Keadaan di premis berkenaan yang beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikan. - Foto Facebook DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah premis memproses ikan dan makanan eksotik yang beroperasi sekitar Kepong Commercial Park ditutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan.

Menerusi kemas kini di laman Facebook pada Selasa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, siasatan awal dijalankan mendapati proses pengendalian makanan di premis terlibat adalah tidak mengikut piawaian ditetapkan.

Menurutnya, semua aktiviti menyiang dan memotong ikan dijalankan di atas lantai tanpa menyediakan alas pelapik.

"Lantai, dinding dan keseluruhan penyediaan makanan di premis itu didapati berdaki hitam dengan sisa darah.

"Lantai dan dinding diperbuat daripada simen konkrit sahaja dan tidak dilapisi jubin serta dipenuhi lumut hijau," katanya.

Keadaan di premis berkenaan yang beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikan. - Foto Facebook DBKL
Keadaan di premis berkenaan yang beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikan. - Foto Facebook DBKL

Di samping itu, DBKL berkata, premis terlibat turut didapati tidak mempunyai perangkap minyak dan semua cucian termasuk sisa ikan disalirkan terus ke longkang awam.

Menurutnya, pemilik premis hanya meletakkan bakul sebagai penapis di bahagian outlet sebelum masuk ke longkang awam.

Artikel Berkaitan:

"Perkakas dan mesin yang digunakan dalam penyediaan makanan turut tidak dijaga dengan bersih dan berada dalam keadaan kotor," katanya.

Berikutan itu, DBKL berkata, pihaknya telah mengeluarkan Notis Perintah Penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa 27 Januari.

"Pemantauan terhadap premis-premis seumpama ini akan dilaksana secara berterusan oleh DBKL," katanya.