70 askar wataniah bantu operasi PKP

Semua anggota askar wataniah ditempatkan di 15 lokasi SJR di seluruh Perak

Mohd Azmurin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pegawai bertugas di SJR Tol Tapah ketika meninjau penugasan anggota askar wataniah di lokasi tersebut pada Selasa.
Mohd Azmurin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pegawai bertugas di SJR Tol Tapah ketika meninjau penugasan anggota askar wataniah di lokasi tersebut pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Seramai 70 anggota askar wataniah bersama enam pegawai terlibat membantu Angkatan Tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam penugasan sepanjang pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib berkata, kesemua anggota tersebut dari Rejimen 503 Askar Wataniah yang terdiri daripada Batalion Pertama di Ipoh, Batalion Kedua di Taiping dan Batalion Ketiga di Teluk Intan.

Menurutnya, kesemua mereka terlibat di dalam Op Penawar bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam tugas penguatkuasaan PKP di negeri ini.

"Penugasan anggota sukarela askar wataniah ini juga merupakan kesinambungan kepada arahan yang telah diputuskan oleh kerajaan untuk ATM melaksanakan keperluan bantuan dan kerjasama kepada pihak PDRM dalam menguatkuasakan pelaksanaan PKP.

"Pegawai dan anggota askar wataniah terlibat ditugaskan untuk membantu pihak PDRM dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melawat SJR Tol Tapah di sini pada Selasa.

Mohd Azmurin berkata, kesemua mereka ditempatkan di 15 lokasi SJR di negeri ini sepanjang pelaksanaan PKP.

Katanya, penugasan SJR itu juga merupakan salah satu usaha integrasi dan kerjasama melibatkan kerahan dalam operasi ketenteraan di dalam ATM yang secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada askar wataniah melalui penglibatan khidmat masyarakat bersama anggota-anggota tetap.

"Penugasan SJR oleh Rejimen 503 Askar Wataniah ini juga merupakan Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB) serta satu pengiktirafan negara terhadap tugas dan peranan yang dimainkan oleh askar wataniah.

Artikel Berkaitan:

"Penugasan SJR di barisan hadapan negara juga merupakan salah satu tugasan yang disebut sebagai operasi ketenteraan selain daripada peperangan," katanya.

Sementara itu, Mohd Azmurin mengalu-alukan anak muda di Perak untuk menyertai perkhidmatan askar wataniah.

Katanya, penyertaan mereka dalam perkhidmatan itu merupakan peluang untuk membuktikan pengorbanan dan tanggungjawab terhadap negara.