Penganggur tidak mengaku curi, bakar lori di IPD Serdang

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mencuri rokok, menceroboh dan membakar lori di Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang pada minggu lalu.

Muhammad Hazim Zawadod, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Majistret, dia didakwa mencuri tiga karton rokok pelbagai jenama dan dua kotak besar mengandungi rokok serta tembakau.

Kesalahan dilakukan di Kawasan Tempat Simpanan Barang Kes, IPD Serdang pada jam 5.30 petang, 18 Januari lalu.

Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan untuk kesalahan kedua hendaklah dikenakan hukuman penjara dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah kawasan yang sama, pada jam 10.19 malam hari sama dan didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam, Chui Jing Hong yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan dia tidak bekerja.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 2 April depan sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, dia didakwa melakukan khianat dengan niat hendak membinasakan tempat penyimpanan IPD Serdang dengan membakar tiga lori yang mengandungi pelbagai jenis rokok, enam kereta dan 13 motosikal di lokasi dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farrahin Shapri tidak menawarkan sebarang ikat jamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.