Tiga beranak terkandas di JB bakal dihantar pulang ke Selangor

Muhamad Khairil bersama anaknya yang berusia enam bulan akan dihantar pulang bersama-sama isterinya ke Kuala Selangor, Selangor selepas terkandas dua minggu di Johor Bahru.
Muhamad Khairil bersama anaknya yang berusia enam bulan akan dihantar pulang bersama-sama isterinya ke Kuala Selangor, Selangor selepas terkandas dua minggu di Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Nasib tiga beranak yang terkandas di bandar raya ini sejak dua minggu lalu dan mengambil makanan di pusat pengedaran makanan bagi gelandangan di Dataran Tun Sri Lanang di bandar raya ini mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pasangan suami isteri terbabit, Muhamad Khairil Karim, 38, dan Hamidah Kadir, 36, serta bayi mereka Mohammad Rizki, enam bulan, yang menumpang di rumah abang angkatnya di Kampung Melayu Majidee, di sini kini boleh menarik nafas lega.

Mereka sekeluarga ketika ini terkandas dan tidak dapat pulang ke rumah sewa di Kuala Selangor, Selangor akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa 13 Januari lalu.

Muhamad Khairil yang bekerja kontrak berkata, pada mulanya mereka menaiki bas di Klang Federal menuju ke Larkin Sentral pada 12 Januari lalu bagi menziarahi keluarganya sebelum merancang melawat keluarga mertua di Simpang Renggam, Kluang.

"Saya tidak tahu PKP 2.0 dilaksana, apabila sudah menaiki bas dan tiba di Larkin Sentral pada pagi 13 Januari lalu baru tahu PKP dilaksana. Saya memang mahu balik kampung melihat keluarga.

"Bila sudah PKP 2.0 tidak boleh merentas negeri, jadi saya terpaksa menumpang sementara di rumah abang angkat. Malah saya dan isteri juga tidak dapat melawat keluarga mertua di Simpang Renggam kerana tidak boleh merentas daerah. Bertambah malang semasa menaiki motosikal semalam (Isnin), dompet yang mengandungi kad pengenalan dan lesen memandu tercicir serta hilang.

"Dokumen pengenalan baharu sudah diselesaikan, tinggal urusan lesen sahaja yang belum selesai. Kalau diikutkan memang tidak mahu bawa anak kecil ini datang (ke Dataran Sri Lanang) tetapi tiada pilihan. Lepas ambil makanan saya akan terus pulang," katanya ketika ditemui di dataran itu pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Zaiton (kiri) membantu mengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan dan orang ramai di Dataran Tun Sri Lanang, Jalan Ibrahim, Bandaraya Johor Bahru pada Selasa.
Zaiton (kiri) membantu mengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan dan orang ramai di Dataran Tun Sri Lanang, Jalan Ibrahim, Bandaraya Johor Bahru pada Selasa.

Terdahulu Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Mohamad Hapil meninjau pusat pengedaran makanan bagi gelandangan di dataran itu.

Menurut Muhamad Khairil, bantuan makanan itu sangat membantu keluarganya pada ketika ini yang tidak mempunyai pekerjaan dan wang.

Katanya, sudah dua kali mengambil makanan yang disediakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk gelandangan sekitar bandar raya ini.

"Semalam (Isnin) NGO menegur saya sekeluarga ketika sedang berehat di kawasan ini. Suruh mohon dan beratur ambil makanan. Memang mudah urusan dan dapat jimat," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya akan menguruskan kepulangan keluarga Muhamad Khairil ke Kampung Hujung Permatang, Kuala Selangor pada awal pagi Rabu.

Katanya, keluarga itu adalah keluarga kesembilan yang dibantu dan dihantar pulang sejak PKP 2.0 dilaksana.

"Keluarga ini akan kita santuni, dalam isu keluarga ini mereka mahu pulang semula ke Selangor dan pihak kami akan uruskan penghantaran pulang mereka, paling awal pagi esok bagi menyelamatkan keluarga ini terutama bayi.

"Kita sudah selamatkan lapan keluarga dengan menghantar pulang mereka ke destinasi sejak PKP 2.0 dilaksanakan termasuk di luar Johor Terengganu, Melaka dan Pahang," katanya.

Katanya, antara sebab mereka terkandas di negeri ini yang kebanyakannya berasal dari negeri lain adalah untuk mencari kerja selain menziarahi keluarga di Johor tetapi tidak dapat pulang kerana tidak dibenarkan rentas daerah dan negeri.