X

Kindly register in order to view this article
!

Biden kekalkan sekatan perjalanan terhadap Eropah, Brazil

Joe Biden pada Isnin mengeluarkan perintah eksekutif kekalkan sekatan perjalanan ke atas puluhan negara di tengah penularan varian baharu virus Covid-19. - Foto 123RF
A
A

ANKARA - Presiden Joe Biden pada Isnin mengeluarkan perintah eksekutif untuk mengekalkan sekatan perjalanan ke atas puluhan negara di tengah penularan varian baharu virus Covid-19, lapor Agensi Anadolu.

Beliau turut mengekalkan sekatan perjalanan dari 29 negara Zon Schengen di Eropah serta United Kingdom, Ireland dan Brazil termasuk yang terbaharu Afrika Selatan.

Sebelum ini, bekas Presiden Donald Trump menarik balik larangan ketibaan pelancong dari Eropah dan Brazil, dua hari sebelum tempoh pentadbirannya berakhir. Arahan ini dijadual berkuat kuasa pada Selasa.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) merumuskan langkah-langkah pencegahan berterusan adalah perlu bagi melindungi kesihatan awam, menurut Rumah Putih.

"Dengan pandemik yang semakin buruk dan varian baharu kian menular, ini bukan masanya untuk menghapus sekatan perjalanan antarabangsa," kata jurucakap Rumah Putih Jen Psaki kepada wartawan.

Sementara itu, Biden dalam perintah eksekutifnya berkata "adalah menjadi dasar pentadbirannya untuk melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam berpandukan aspek sains untuk mencegah penyakit semakin merebak."

Sekatan perjalanan itu tertakluk kepada rakyat asing negara tersenarai dan warga Amerika di luar negara yang mahu memasuki AS perlu diuji negatif virus Covid-19 dalam masa tiga hari sebelum berlepas dan wajib menjalani kuarantin sejurus ketibaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!