Peniaga dalam talian kena tipu RM84,290

Elias Omar
Elias Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang peniaga dalam talian kerugian RM84,290 akibat diperdaya sindiket syarikat pinjaman wang tidak wujud pada Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, wanita berusia 32 tahun berasal dari Kulim itu mengenali suspek dan berhubung melalui WhatsApp.

Elias berkata, suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Bryan Leong’ mengaku sebagai ejen syarikat pemberi pinjaman wang dan menawarkan pinjaman wang mudah lulus.

"Mangsa yang terdesak mahu mendapatkan pinjaman wang telah bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000 dan suspek menjanjikan kelulusan segera bagi pinjaman tersebut.

"Selepas berjaya mendapatkan kepercayaan mangsa, suspek meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran seperti bayaran insurans, membuka fail, bayaran percubaan pinjaman dan bayaran sistem pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, wanita itu telah membuat pemindahan wang melalui 38 transaksi melibatkan 11 akaun bank yang diberikan suspek membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM84,290 sejak Januari atas dasar percaya.

Tambah beliau, mangsa juga telah membuat pinjaman wang daripada ahli keluarganya untuk diserahkan kepada suspek sebelum penipuan disedari wanita itu selepas diminta membuat beberapa lagi bayaran.

Katanya, mangsa diberitahu perlu membayar sejumlah wang lagi sekiranya ingin membatalkan pinjaman berkenaan, sekali gus menyebabkan wanita itu berasa curiga dan syak ditipu.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Lunas, Kulim pada Isnin dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu," katanya.