Maszlee mahu sistem pendidikan negara berteraskan nilai

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mahu sistem pendidikan di negara ini berpaksikan kepada nilai bermula daripada pendidikan awal sehinggalah di peringkat universiti.

Ujar beliau, dirinya sering ditanya mengenai sistem pendidikan negara dan jawapan yang diberikan ialah kasih-sayang, kegembiraan dan saling menghormati.

“Guru misalnya, saya mahu mereka cintakan dunia mendidik mereka, gembira mendidik anak bangsa sehinggalah mereka boleh melahirkan insan yang mempunyai peribadi yang unggul,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya semalam.

Jelas Maszlee, beliau tidak hanya menumpukan kepada hala tuju sistem pendidikan sahaja, tetapi dari sudut perlaksanaannya juga diikuti secara dekat.

“Di dalam Amanat Tahun 2019 yang saya sampaikan 14 Januari yang lalu, saya ketengahkan lagi, di antara hala tuju pendidikan negara kita ialah pendidikan berteraskan nilai (values-driven education).

“Saya mahu semua pihak melihat nilai sebagai teras dan perubahan sistem pendidikan kita mesti berpusatkan kepada nilai. Saya juga bertemu ramai guru dan bertanya kepada mereka. Saya risau sekiranya penetapan hala tuju sebegini akan membebankan walaupun niat saya adalah sebaliknya.

“Ramai yang mencadangkan supaya saya mengumpul cerita-cerita tentang kreatifnya guru-guru dalam melaksanakan hala tuju ini melalui pendekatan mereka di dalam kelas. Hal ini akan membolehkan saya mendapat perkembangan ‘real’ dan praktikal di samping saya juga boleh mengumpulkan cerita-cerita yang menginspirasikan untuk disebarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee turut mengalu-alukan guru, anak murid, ibu bapa atau sesiapa sahaja untuk berkongsi cerita mereka tentang usaha mereka dalam menerapkan nilai kepada pelajar, anak, dan sesiapa sahaja dalam hidup mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kongsikan cerita-cerita itu dengan memasukkan tanda pagar (hashtag) #pendidikanberteraskannilai,” katanya.