X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki sakit mental tikam warga emas ditahan

Lelaki berusia 40 tahun disyaki menikam warga emas pada petang Ahad ditahan di tepi Jalan Besar, Kuantan kira-kira jam 3.25 petang Selasa. - Foto 123RF
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental ditahan kerana disyaki menikam seorang warga emas di tapak parkir Pasar Besar Kuantan di sini pada petang Ahad.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan di tepi Jalan Besar di sini kira-kira jam 3.25 petang Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, penahanan suspek itu susulan laporan polis dibuat anak mangsa pada Isnin berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati lelaki itu memiliki kad rawatan pesakit mental dan tiada rekod jenayah lampau.

"Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Ahad, seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun parah akibat ditikam individu tidak dikenali di lokasi tersebut.

"Ketika kejadian mangsa bersama isterinya berada di kawasan parkir tersebut sebelum didatangi suspek dan terus menikamnya menggunakan sebilah pisau.

"Mangsa yang cedera di pinggang menerima rawatan awal di klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kerana kecederaan serius," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Othman berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemui sebilah pisau yang disyaki digunakan suspek untuk menikam mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!