10 individu paling dikehendaki

Abd Jalil menunjukkan antara individu yang dikehendaki polis Kontinjen Pahang berkait kes jenayah pada sidang akhbar di IPK Pahang pada Selasa.
Abd Jalil menunjukkan antara individu yang dikehendaki polis Kontinjen Pahang berkait kes jenayah pada sidang akhbar di IPK Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang meneruskan usaha bagi mengesan seramai 1,226 individu dikehendaki yang dikenakan waran tangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan semua jabatan sejak tahun 2000 hingga Disember tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 10 individu disenarai sebagai antara paling dikehendaki berkait kes jenayah termasuk kes bunuh, cubaan bunuh, samun dan rogol.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, mengikut pecahannya, sebanyak 1,270 waran tangkap dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dalam tempoh tersebut dan 813 daripadanya telah dibatalkan manakala 457 lagi masih dijejaki.

Menurutnya, di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN), seramai 29 individu dikehendaki atas kesalahan penipuan, pecah amanah dan lain-lain kes tipu.

"Untuk kes narkotik, sebanyak 721 kertas siasatan dibuka dan 713 waran tangkap telah dikeluarkan kepada suspek dan saksi yang gagal tampil membantu siasatan dan perbicaraan.

"Seterusnya 27 individu dikehendaki bagi kes-kes trafik terutama berkait kes kemalangan yang memerlukan siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Abd Jalil berkata, kebanyakan individu yang dikehendaki bagi kontinjen Pahang gagal dikesan di alamat terakhir dan ada juga yang didapati menggunakan maklumat orang lain ketika melakukan jenayah.

Artikel Berkaitan: