Penyanyi, pemuzik dapat lebih RM11 juta royalti tertunggak

Rosol pada sidang media di kementeriannya yang disiar secara langsung menerusi laman Facebook KPDNHEP pada Selasa.
Rosol pada sidang media di kementeriannya yang disiar secara langsung menerusi laman Facebook KPDNHEP pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyanyi dan pemuzik bakal menikmati durian runtuh apabila RM11,788,347.18 royalti tertunggak bagi tahun 2018 akan diagihkan bermula Jumaat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, sebagai permulaan artis yang bernaung di bawah Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) layak menerima RM500 setiap orang.

"Bayaran tersebut akan dibuat badan pelesenan RPM dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL) selaku pelikuidasi kepada tadbir urus PRISM melalui Unlogged Performance Allocation (UPA)," katanya pada sidang media di kementeriannya yang disiar secara langsung menerusi laman Facebook KPDNHEP pada Selasa.

Menurutnya, dianggarkan seramai 1,134 ahli RPM dan 396 ahli PRISM akan menerima bayaran pendahuluan tersebut.

"Baki agihan tersebut akan diagihkan mengikut jumlah pelaporan penggunaan lagu," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan jadual, pengagihan bayaran tersebut akan diselesaikan sepenuhnya pada April ini.

"Artis terbabit perlu mengemukakan dokumen dan verifikasi berdasarkan lagu diputarkan pada tahun berkenaan," katanya.

Katanya, artis di bawah PRISM yang telah gulung tikar pada 2018 perlu menghubungi MDL untuk tujuan pelikuidasi dengan mengemukakan dokumen.

Artikel Berkaitan:

"Mereka boleh menghubungi MDL di talian 03-26183000 dan sambungan 2246 untuk tujuan tersebut," katanya.

Justeru, beliau berharap agihan tersebut mampu mengurangkan beban artis yang terjejas.